GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Jabatan Pertanian menjalankan pemeriksaan terperinci dan ketat terhadap semua pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan benih yang dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, pemeriksaan itu melibatkan ladang benih padi, pengauditan premis pemprosesan, semakan dokumentasi dan ujian makmal bagi memastikan benih yang dihasilkan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Namun, menurut beliau, tanggungjawab terhadap kualiti benih selepas pengesahan terletak pada pengeluar dan sebarang isu berkaitan penyimpanan serta pengedaran adalah di luar bidang kuasa Jabatan Pertanian.

Selain itu, tambahnya, Jabatan Pertanian juga bertanggungjawab sebagai agensi pengesah dalam pelaksanaan Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) yang bertujuan memastikan benih padi sah yangm dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan.

“Pelaksanaan SPBP melibatkan pemeriksaan ladang, pengauditan premis, semakan dokumentasi dan pengujian kualiti bagi memastikan benih yang dihasilkan mematuhi piawaian yang digariskan, termasuk Standard Jabatan Pertanian Malaysia 2021, Malaysian Standard (MS) 469:2012, serta peraturan The International Seed Testing Association (ISTA).

“Namun, kualiti benih padi selepas perakuan pengesahan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kaedah penyimpanan, pengendalian serta tempoh masa antara pengesahan dan penggunaan benih oleh pesawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keluhan pesawah di beberapa negeri seperti yang dilaporkan media sebelum ini yang mendakwa benih padi sah yang diagihkan kepada mereka berkualiti rendah apabila kurang bercambah selepas ditabur yang mana kemerosotan benih padi sah itu berlaku sejak enam tahun lalu.

Menurut pesawah berkenaan,  situasi itu menyebabkan pesawah perlu menambah benih padi, sekali gus modal mengusahakan sawah turut bertambah.

Sementara itu, Nor Sam berkata, sebarang aduan berkaitan kualiti benih padi sah boleh dikemukakan kepada pihaknya bagi tujuan siasatan lanjut berpandukan kebolehkesanan (traceability) melalui label pada beg benih bagi mengenal pasti punca serta proses penghasilannya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pesawah menyimpan label pada beg benih dan memastikan tidak menerima beg benih padi sah yang telah melepasi tarikh penggunaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian supaya aduan mengenai kualiti dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.

“Selain itu, pesawah dinasihatkan untuk merujuk kepada Rice Check bagi memastikan pengurusan tanaman padi mengikut prosedur serta mencapai sasaran yang ditetapkan dalam peningkatan produktiviti dan kualiti padi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here