KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa segera mengenakan tegas ke atas pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ kerana lelaki itu juga menghina Islam.
“Kenapa hanya pada penyampai radio dan zamri sahaja?? Jangan berat sebelah wahai Jelutong.
“Ke kamu takut hilang undi kalau minta mamat yang menghina agama Islam ni dikenakan tindakan juga?, tegas ketuanya, Datuk Dr Akmal di Facebook beliau, hari ini.
Akmal berkata demikian mengulas desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang dengan segera terhadap penyampai radio Era FM dan pendakwah bebas Zamri Vinoth.
‘Vijayan Savarinathan’ dikesan menghina agama Islam dalam satu video yang disiarkan di Facebook baru-baru ini.
Bahkan, dia mengakui telah memuatnaik video menghina Islam ketika marah terhadap penularan video melibatkan penyampai sebuah stesen radio yang sebelum ini didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu.
“Saya minta maaf ikhlas daripada hati saya, apa yang saya buat dan saya cakap memang tidak patut. Sebab mereka (penyampai sebuah stesen radio) buat video itu saya pun marah dan tidak boleh tahan sebab kita kena hina tapi itu bukan alasan untuk saya buat video begitu,” katanya di Facebook semalam.
Polis siasat ‘Vijayan Savarinathan’ didakwa hina agama Islam
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang memburu individu berkenaan kerana menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau menerusi satu video berdurasi tiga minit 49 saat yang tular di laman sosial Facebook.
Jelas Razarudin, siasatan pada masa ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sejurus laporan polis dibuat termasuk usaha mengesan lelaki terbabit yang berkemungkinan berada di luar negara.
Dalam pada itu, Akmal berkata, masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara itu perlu mengamalkan rasa hormat menghormati bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negara ini terbela.
“Hormat kepada semua agama dan bangsa,bukan hanya pada satu agama dan satu bangsa sahaja!,” tegas Akmal lagi.
Hari ini, SKMM memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd yang merupakan pemilik stesen radio Era FM.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata, syarikat itu dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
Untuk rekod, suruhanjaya berkenaan menyerahkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada pemegang lesen yang video penyampai radio berkenaan didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Muruga.
Isu itu mencetuskan kontroversi selepas penyampai radio itu dikatakan mempersenda tarian tersebut. – MalaysiaGazette
Pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’ mohon maaf muat naik video hina Islam