KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh program jualan murah seperti Jualan Rahmah Madani dan Jualan Pra-Syawal di pasar tani dalam menyantuni isu kos sara hidup dengan lebih berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bagi memastikan rakyat dapat memperoleh barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan, terutama menjelang musim perayaan.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), perkara itu antara yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan beliau hari ini.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui tindakan bersepadu dan berkesan.
“Langkah-langkah yang telah dibincangkan dalam mesyuarat hari ini akan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, insya-Allah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat NACCOL hari ini turut memberi tumpuan utama terhadap usaha mengawal kenaikan premium insurans dan takaful perubatan, memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang Ramadan dan Syawal, serta memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Ujar beliau, kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi oleh rakyat, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang mampan dan bekalan keperluan asas pada harga yang berpatutan.
Sehubungan itu, jelasnya, beberapa langkah telah dirangka termasuk pengagihan kadar pelarasan premium insurans kesihatan, penangguhan kenaikan premium serta pembangunan produk insurans kesihatan yang lebih mampu milik. – MalaysiaGazette