KUALA LUMPUR – Pengerusi High Level Committee (HLC) Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar jemaah Kabinet meluluskan suruhanjaya berkenaan sebagai badan kawal selia utama yang memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.
Ahmad Zahid yang mempengerusikan mesyuarat SEGiM buat kali pertama berkata, kewujudan suruhanjaya itu membolehkan ia bertindak memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig serta aspek-aspek yang memerlukan pengawalseliaan.
“SEGiM akan memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pekerja gig, pengguna, serta semua pihak berkepentingan, memastikan hak mereka dilindungi melalui penguatkuasaan dasar yang telus, pemantauan standard perkhidmatan, serta pemerkasaan kawal selia kendiri dalam industri gig.
“Langkah ini juga akan menggalakkan piawaian industri yang lebih mampan, progresif, dan berdaya saing bagi menyesuaikan diri dengan lanskap ekonomi digital yang berkembang pesat,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid lagi, usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merangka Rang Undang-Undang (RUU) yang holistik dan inklusif, mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh termasuk pemain industri serta jutaan pekerja gig yang bergantung kepada ekonomi digital sebagai sumber pendapatan mereka.
Dalam mesyuarat tersebut, asas penubuhan SEGiM yang disediakan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Kementerian Digital turut diperhalusi.
“MDEC turut mencadangkan agar penggubalan Akta tubuh SEGiM dilaksanakan secara bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
Tambah Ahmad Zahid, kerajaan melihat penubuhan SEGiM sebagai langkah strategik bagi memastikan kesejahteraan pekerja gig serta kestabilan ekosistem ekonomi digital negara.
Selain itu, ia juga dijangka dapat meningkatkan keadilan dan perlindungan sosial dalam sektor ekonomi gig yang semakin berkembang pesat.
Dengan wujudnya badan kawal selia ini, sektor ekonomi gig akan dapat berkembang dalam persekitaran yang lebih teratur dan adil.
“Kerajaan kekal komited dalam memperkukuhkan sektor ekonomi gig bagi menjamin kesejahteraan pekerja gig dan kestabilan ekosistem ekonomi digital negara.
“Langkah ini bukan sekadar memastikan keadilan dan perlindungan sosial, tetapi juga membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dalam era ekonomi digital yang dinamik dan kompetitif,” katanya lagi.
Usaha ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pekerja gig tetapi juga memastikan pengguna mendapat perkhidmatan yang lebih berkualiti dan selamat.
Langkah ini sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital serantau. – MalaysiaGazette