KARACHI – Sekumpulan individu bersenjata api merampas sebuah kereta api dan menahan lebih 100 penumpang untuk dijadikan tebusan serta mencederakan pemandu kereta api itu dalam serangan di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, kata para pegawai.
Tentera Pembebasan Baloch (BLA) yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu menyatakan anggotanya telah meletupkan landasan dan mengambil alih kereta api di daerah Sibi.
Pengawal Kereta Api, Muhammad Kashif berkata, kereta api yang dalam perjalanan dari Quetta ke Peshawar membawa 500 penumpang.
“Kereta api diberhentikan oleh sekumpulan lelaki bersenjata api di Terowong No 8. Usaha dilakukan untuk menghubungi penumpang dan kakitangan,” katanya.
Seorang pegawai kanan polis di Sibi yang tidak mahu dikenali menyatakan kereta api tersebut terkandas sebelum melalui terowong yang dikelilingi gunung-ganang.
Menurut seorang lagi pegawai polis, darurat telah diisyitiharkan di hospital berhampiran.
Sementara itu, menurut satu kenyataan, BLA bertanggungjawab terhadap serangan tersebut dan mendakwa enam anggota tentera terbunuh semasa insiden tersebut.
Kumpulan itu menyatakan bahawa ia telah menjadikan penumpang kereta itu sebagai tebusan, termasuk anggota pengawal keselamatan walaun bilangan mereka yang ditahan kekal tidak jelas. – Agensi