Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya akan menyerahkan 10 video berkaitan dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kepada SPRM petang ini.

Menurut Latheefa, video penuh yang tidak disunting itu diterimanya daripada pemberi maklumat yang hanya dikenali sebagai Albert semalam.

Jelasnya, video yang disifatkan bukti penting dalam dakwaan berhubung isu rasuah melibatkan wakil rakyat Sabah itu akan diserahkan kepada SPRM bersama peguam yang juga aktivis Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek.

“Selepas ini tidak ada lagi alasan daripada SPRM untuk tidak menyiasat dakwaan kes rasuah ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama LFL di sini hari ini.

Isu skandal rasuah ADUN Sabah sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila rakaman video yang didakwa memaparkan urusan rasuah berkaitan projek cari gali mineral di negeri itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, hanya terdapat sedikit bukti dalam kes tersebut dan video yang ada setakat ini seperti yang disiarkan sebuah portal berita tidak boleh diguna pakai sebagai bukti.

“Video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.

“Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti,” katanya seperti dilaporkan media baru-baru ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here