Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad
SETIAP tahun, ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada dalam dilema untuk membuat keputusan penting mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka. Hala tuju ini bukan sekadar tentang mendapatkan tempat menyambung pengajian, tetapi juga menentukan daya saing mereka di pasaran kerja. Pendidikan merupakan salah satu elemen utama yang menentukan kedudukan daya saing sesebuah negara dalam Ranking Daya Saing Dunia.
Menurut laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia IMD 2024, kedudukan daya saing Malaysia berada di tangga ke-34 daripada 67 negara yang dinilai. Keupayaan sesebuah negara untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, mengadaptasi teknologi baharu, serta menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan industri global memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing yang mampan.
Oleh itu, pelajar perlu lebih berpandangan jauh dalam memilih bidang pengajian agar selari dengan keperluan tenaga kerja global. Dalam membuat pilihan bidang pengajian, terdapat beberapa faktor utama yang perlu dipertimbangkan oleh pelajar.
Peluang kerjaya
Faktor pertama yang perlu dipertimbangkan ialah peluang kerjaya yang ditawarkan. Dalam pasaran kerja, terdapat dua kategori pekerjaan yang perlu diberi perhatian oleh pelajar: pekerjaan yang tinggi permintaan dan pekerjaan yang sedang berkembang. Pekerjaan yang tinggi permintaan merangkumi bidang yang sentiasa diperlukan seperti profesional kesihatan (doktor, jururawat, ahli farmasi), jurutera, akauntan, guru dan pakar teknologi maklumat. Sementara itu, pekerjaan yang sedang berkembang pula berkaitan dengan kemajuan teknologi dan keperluan industri masa depan seperti pakar kecerdasan buatan (AI), saintis data, pakar tenaga boleh diperbaharui, penganalisis keselamatan siber dan pengendali Dron bertauliah.
Bidang yang ditawarkan hari ini mungkin tidak lagi diperlukan dalam 10 tahun akan datang. Oleh itu, pelajar perlu memilih bidang yang mempunyai daya tahan terhadap perubahan industri dan berkembang seiring dengan trend global. Memilih bidang yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja atau pekerjaan yang sedang berkembang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan risiko pengangguran.
Pelajar boleh merujuk platform seperti JobStreet, MyFutureJobs, MyMahir, serta laporan pasaran kerja daripada TalentCorp dan agensi kerajaan untuk memahami trend pekerjaan semasa dan masa hadapan serta memastikan pilihan mereka sejajar dengan keperluan pasaran. Negara yang bersedia untuk perubahan teknologi akan lebih berdaya saing dalam ekonomi global, dan pelajar yang melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dalam bidang yang berkembang ini akan lebih mudah mendapatkan pekerjaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Minat
Selain itu, minat dan kecenderungan pelajar juga memainkan peranan penting dalam kejayaan akademik dan kerjaya jangka panjang. Apabila seseorang pelajar benar-benar berminat dengan bidang yang dipilih, mereka lebih cenderung untuk memberikan komitmen penuh, menyesuaikan diri dengan perubahan, dan lebih berinovasi dalam pembelajaran mereka.
Walau bagaimanapun, minat sahaja tidak mencukupi sekiranya bidang itu tidak mempunyai prospek pekerjaan yang baik. Oleh itu, pelajar perlu memastikan minat mereka sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi bagi memastikan laluan kerjaya yang lebih stabil dan menjamin masa depan yang cerah.
Profil personaliti
Setiap individu juga mempunyai kesesuaian profil personaliti yang perlu diambil kira dalam pemilihan bidang pengajian dan kerjaya. Pemilihan bidang yang sesuai dengan personaliti dapat meningkatkan motivasi, kepuasan kerja dan kejayaan jangka panjang. Salah satu cara untuk mengenal pasti kesesuaian ini ialah melalui ujian psikometrik, yang mengukur aspek personaliti, kebolehan kognitif dan kecenderungan individu dalam bidang pengajian dan kerjaya.
Ujian ini membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan individu serta bagaimana mereka boleh menyesuaikan diri dengan bidang pilihan mereka. Sebagai contoh, individu yang lebih cenderung kepada pemikiran analitikal mungkin lebih sesuai dalam bidang seperti kejuruteraan atau sains komputer, manakala mereka yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi mungkin lebih sesuai dalam bidang seperti pemasaran, pendidikan atau perhubungan awam.
Di Malaysia, terdapat beberapa ujian psikometrik yang boleh digunakan untuk membantu pelajar membuat keputusan yang lebih baik dalam memilih bidang pengajian. Salah satunya ialah eProfiling UPU, yang disediakan dalam sistem permohonan UPU Online untuk membantu pelajar mengenal pasti kecenderungan mereka berdasarkan minat dan personaliti. Selain itu, platform MyMahir turut menawarkan Know Yourself Assessment, iaitu satu penilaian yang membantu individu memahami kekuatan dan kelemahan mereka dalam konteks pembangunan kerjaya. Menggunakan ujian-ujian ini membolehkan pelajar membuat keputusan yang lebih tepat dan berdasarkan data yang objektif.
Keupayaan diri
Seterusnya, keupayaan diri juga menjadi faktor penting dalam pemilihan bidang pengajian. Pelajar perlu menilai sama ada pencapaian SPM mereka memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian yang ingin dipohon. Ini termasuk menyemak kelayakan akademik, merit yang diperlukan, serta kesesuaian keputusan SPM dengan bidang yang dipilih. Selain kelayakan akademik, pelajar juga perlu mempertimbangkan keupayaan kewangan untuk menanggung kos yuran dan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian.
Adalah penting untuk menyemak sama ada terdapat bantuan kewangan atau penajaan yang sesuai seperti penajaan JPA, MARA, PTPTN, zakat, atau pembiayaan
pendidikan daripada badan korporat. Memastikan keupayaan kewangan yang stabil dapat membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa tekanan kewangan.
Pilihan untuk melanjutkan pengajian
Lepasan SPM mempunyai pelbagai pilihan untuk melanjutkan pengajian berdasarkan pencapaian akademik dan minat mereka. Antaranya adalah Program Matrikulasi dan Asasi, yang merupakan antara laluan pantas ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam dan swasta. Diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) pula menawarkan laluan fleksibel untuk melanjutkan ke peringkat ijazah
selepas tamat diploma.
Alternatif lain adalah STPM dan STAM, boleh dijadikan laluan akademik untuk menyambung pengajian ke universiti. Bagi mereka yang berminat dalam bidang kemahiran, Sijil Kemahiran Malaysia menyediakan laluan praktikal dengan peluang untuk menaik taraf kepada Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM). Selain itu, terdapat juga peluang untuk menyambung pengajian di luar negara melalui Program Luar Negara,
yang mana pembiayaan disediakan oleh kerajaan atau agensi tertentu.
Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dengan teliti supaya pelajar dapat membuat keputusan yang terbaik bagi masa depan mereka. Pemilihan bidang pengajian bukan hanya mengenai apa yang diminati, tetapi juga mengenai sejauh mana bidang tersebut dapat menjamin prospek kerjaya yang cerah dan sejajar dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.
Diskusi bersama guru bimbingan dan kaunseling serta individu yang mahir tentang dunia pendidikan dan kerjaya juga penting dalam memastikan pemilihan hala tuju yang terbaik. Malaysia memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga memiliki kemahiran abad ke-21 yang meliputi pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kreativiti dan literasi digital. Oleh itu, setiap keputusan dalam memilih bidang pengajian perlu dibuat dengan strategi dan visi yang jelas agar dapat membina modal insan yang berdaya saing di peringkat global.
Penulis dari Jabatan Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)