KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd sebagai pengendali stesen radio Era FM.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata, syarikat itu dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, kompaun dikeluarkan selepas mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu SKMM berkata. Maestra Broadcast Sdn Bhd telah mengemukakan rayuan susulan notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan 7 Mac yang lalu.
Sementara itu, SKMM mengingatkan pengendali dan pengguna platform supaya sentiasa bertanggungjawab memelihara keharmonian kaum dan agama dalam negara serta mematuhi undang- undang negara.
“SKMM memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” ujarnya.
Sebagai rekod, suruhanjaya berkenaan menyerahkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada pemegang lesen yang video penyampai radio berkenaan didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Muruga.
Isu itu mencetuskan kontroversi selepas penyampai radio itu dikatakan mempersenda tarian tersebut.
Walaubagaimanapun, kesemua penyampai berita yang terlibat iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy sudah membuat permohonan maaf di kuil Batu Caves.- MalaysiaGazette