Mohd Fared membantu seorang penerima selepas Program Belanja Dapur Asnaf 100 keluarga dan Penyerahan Cura Cek Sumbangan Hari Raya kepada ADUN bagi Asnaf di DUN Masing-Masing di B5, Bandar Baru Uda, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Sejumlah RM3.6 juta diperuntukkan bawah program Dapur Asnaf bagi membantu 12,000 asnaf sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Peruntukan disalurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu diserahkan kepada setiap wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, peruntukan tambahan yang disediakan itu diberikan kepada golongan asnaf memerlukan mengikut keutamaan untuk berbelanja di pasar raya terpilih.

“Pada hari ini, seramai 100 asnaf di kawasan sekitar Johor Bahru dibantu kakitangan MAINJ untuk berbelanja sebanyak RM300 bagi membeli barangan keperluan termasuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

“Peruntukan ini boleh lagi dimohon mengikut keperluan setempat, sebab itu kita libatkan wakil rakyat supaya mereka tahu mengenai kewujudan bantuan ini.

“Mereka juga boleh kumpulkan asnaf di kawasan masing-masing dan panggil pihak MAINJ untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Belanja Dapur Asnaf 100 keluarga dan Penyerahan Cura Cek Sumbangan Hari Raya kepada ADUN bagi Asnaf di DUN Masing-Masing di B5, Bandar Baru Uda, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan ADUN Skudai, Marina Ibrahim.

Mohd Fared berharap semua daerah dapat melaksanakan sempena menyambut kedatangan Aidilfitri dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Mohd Fared mengingatkan umat Islam di negeri ini dapat melaksanakan ibadah zakat fitrah secepat mungkin bagi memudahkan pengagihan dilakukan kepada golongan memerlukan.

“Pada awal minggu pertama kita dapati kutipan zakat sedikit perlahan dan semakin baik pada minggu kedua.

“Hasil kempen yang dijalankan, kita nampak bilangan orang membayar zakat terus berganda. Kita galakkan membayar awal elak terlupa selain mudahkan agihan kepada fakir miskin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak merekodkan sebarang tangkapan setakat ini.

Ujarnya, operasi diteruskan dengan menggunakan kenderaan dan alat siar raya di kawasan tumpuan perniagaan dan memberi nasihat supaya tak mula operasi sehingga pukul 2 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here