KENYATAN Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA, Felicia Wong Yin Ting berkenaan isu PTPTN.

KUALA LUMPUR – MCA menyifatkan langkah mengembalikan sekatan perjalanan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai keperluan mendesak demi memastikan kelangsungan dana pendidikan dan keadilan kepada semua peminjam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA, Felicia Wong Yin Ting berkata, tindakan tegas itu juga perlu diambil bagi mengelak kesan buruk jangka panjang kepada sistem pendidikan negara.

Ujarnya, peminjam yang menikmati manfaat pendidikan melalui dana PTPTN mesti memikul tanggungjawab untuk melunaskan hutang mereka, bukan sahaja bagi memenuhi kewajipan sendiri, tetapi bagi memastikan generasi akan datang mendapat peluang yang sama.

“Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah, dan dana PTPTN memainkan peranan penting dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi untuk anak muda Malaysia.

“Dengan mengembalikan larangan perjalanan, kerajaan akan menghantar mesej yang jelas bahawa pinjaman datang dengan tanggungjawab.

“Adalah penting bagi peminjam yang ingkar memahami bahawa kegagalan mereka membayar balik pinjaman boleh menjejaskan peluang generasi muda untuk melanjutkan pelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Felicia turut membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya menyedari kesilapan mereka yang berjanji untuk menghapuskan pinjaman PTPTN ketika kempen pilihan raya umum lalu yang telah menyemai budaya sambil lewa dalam kalangan peminjam.

Jelasnya, sebelum sekatan perjalanan dimansuhkan pada tahun 2018 oleh kerajaan PH, PTPTN berjaya mengutip RM4 bilion dalam bayaran balik pinjaman, namun kadar pembayaran balik telah merosot secara mendadak sejak larangan tersebut dimansuhkan.

Semalam, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud di Dewan Negara berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN gagal membayar balik pinjaman.

Tambah Mustapha, kaedah itu antara langkah dipertimbangkan bagi memperkasakan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here