KENYATAAN Datuk Seri Mohamad Sabu berkenaan konflik Palestin.

KUALA LUMPUR – Masalah utama penindasan yang berlaku di Palestin bukan semata-mata kerana kekuatan Israel tetapi disebabkan negara-negara Arab dan umat Islam tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong perjuangan Palestin.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika rakyat Palestin menderita di Gaza, ada negara Arab yang masih menjalinkan hubungan perniagaan dengan Israel.

Malah, menurut beliau, terdapat juga negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bermajoriti Muslim membekalkan minyak kepada Israel.

Jelasnya, pihak yang benar-benar peduli terhadap rakyat Palestin kebanyakannya hanyalah negara miskin atau negara yang dikenakan sekatan ekonomi seperti Iran, Iraq dan Yaman serta beberapa kumpulan tertentu.

Ujarnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin mendakwa Gaza sebagai milik AS kerana negara itu telah membelanjakan berbilion dolar untuk menyokong Israel.

Malangnya, tambah Mohamad, tiada negara Muslim atau Arab yang membelanjakan berbilion dolar untuk membantu Palestin.

“Kita boleh lihat bahawa negara Arab sanggup berbelanja berbilion dolar untuk menjatuhkan Bashar Assad dengan bekerjasama dengan kumpulan pemberontak.

“Malah, Hillary Clinton sendiri mengakui bahawa AS telah membiayai ISIS.

“Dan apakah hasilnya? Kini, perjuangan Palestin menjadi lebih sukar kerana mereka tidak lagi boleh bergantung kepada Syria.

“Sementara itu, projek ‘Israel Raya’ semakin hampir menjadi kenyataan,” katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Namun, sejak kebelakangan ini, tambah Mohamad yang juga Menteri Pertaniam dan Keterjaminan Makanan, rakyat di Eropah mula menunjukkan simpati terhadap Palestin.

Katanya, protes besar-besaran di Eropah telah menyebabkan beberapa negara mula mempertimbangkan semula pendirian mereka, sama ada menyokong penyelesaian dua negara atau sekurang-kurangnya mendesak agar keganasan dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin dihentikan.

“Namun, negara-negara Muslim dan Arab masih keliru tentang arah tuju mereka.

“Jadi, daripada terus-menerus menekankan kezaliman Israel dan sokongan Amerika, kita sepatutnya terus bertanya: Di manakah kesatuan umat Islam, terutamanya melalui organisasi seperti OIC, Liga Arab, dan negara-negara majoriti Muslim lain, dalam menyokong Palestin?” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad amat yakin rakyat Palestin akan berjaya mendapatkan kembali tanah air mereka dan hak mereka untuk pulang ke tanah kelahiran mereka, hasil daripada kesedaran yang semakin meningkat serta kesatuan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat dunia.

“Marilah kita terus menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here