KUANTAN – Kebakaran ladang kelapa dan hutan seluas 176 hektar di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular, Gebeng di sini yang bermula sejak 22 Februari lalu kini berjaya dikawal sepenuhnya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, operasi pemadaman di kawasan tersebut ditamatkan pada pukul 6.30 petang semalam.
Beliau bagaimanapun berkata, pemantauan rapi di lokasi tersebut akan terus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng selama tiga hari bagi memastikan tiada kesan bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Pihak JBPM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada agensi terlibat iaitu Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Turut tidak terkecuali Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain pihak yang telah bersama-sama dengan JBPM dalam melaksanakan operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Operasi pemadaman selama 17 hari di kawasan terbabit melibatkan lebih 70 anggota dan pegawai daripada BBP Gebeng dibantu 10 BBP di bawah Zon 1.
Terdahulu, kebakaran yang bermula di ladang kelapa di sini mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan penduduk sekitar Balok Baru supaya berhati-hati susulan pencemaran udara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan turut hadir meninjau lokasi kebakaran pada Khamis lepas. – MalaysiaGazette