PUTRAJAYA – Keterangan orang buruan, Casey Tang Keng Chee dikemukakan di Mahkamah Tinggi hari ni sebagai bahan bukti pihak pembelaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, keterangan bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB itu direkodkan pada 9 Jun 2016 di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand dengan kehadiran peguamnya Selva Mookiah.
Keterangan Casey Tang penting kerana beliau yang mengalihkan dana AS$1 bilion 1MDB kepada pihak ketiga.
AS$1 bilion sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, tetapi hanya AS$300 juta dipindahkan ke dalam akaun itu, manakala AS$700 juta dialihkan kepada Good Star Limited, sebuah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Dokumen setebal lapan muka surat itu dikemukakan melalui keterangan bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman, Senior Assistant Commissioner (SAC) R. Rajagopal selaku saksi pembelaan ke-11 (DW11).
Keterangan Casey Tang yang kemudian ditandakan sebagai eksibit, bagaimanapun belum dibaca oleh saksi berkenaan di mahkamah hari ini.
Rajagopal merupakan pegawai yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan salah urus di 1MDB berikutan laporan yang dibuat oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 12 Disember 2014.
Dalam keterangannya, saksi berkata, Casey Tang merupakan individu yang membentangkan cadangan usaha sama, Project Aria kepada lembaga pengarah 1MDB.
Ujarnya, Casey Tang terlibat menandatangani dokumen untuk pemindahan AS$300 juta (daripada dana 1MDB) untuk usaha sama itu, dan AS$700 juta kepada Good Star.
Kata saksi, oleh yang demikian, lelaki itu yang merupakan sekutu Jho Low perlu menjelaskan mengapa AS$700 juta tidak dipindahkan secara terus, sebaliknya dimasukkan ke dalam Good Star (milik Jho Low).
Dalam keterangannya hari ini, pesara polis itu berkata, pasukan siasatan hingga kini tidak mengetahui keberadaan Casey Tang meskipun pelbagai usaha diambil untuk menjejakinya.
Menjawab soalan Muhammad Shafee, Rajagopal berkata, polis telah menjalankan usaha termasuk mengeluarkan `notis merah’ dan waran tangkap dalam tempoh yang panjang.
Pada sesi pemeriksaan utama, saksi bersetuju bahawa Casey Tang diiktiraf sebagai orang buruan kerana `notis merah’ sudah dikeluarkan terhadapnya.
Rajagopal berkata demikian ketika disoal Muhammad Shafee pada perbicaraan bekas Perdana Menteri atas dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Dalam keterangannya, saksi bersetuju bahawa pasukan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal membawa Casey Tang tepat pada masanya untuk perbicaraan kes.
Ujar Rajagopal, mereka telah berusaha menangkapnya melalui `notis merah’ yang dikeluarkan pada 2018 dan 2019, namun tidak berjaya.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette