KUALA LUMPUR – Gara-gara ditegur bapa kerana terlalu leka bermain telefon, selain akses internet disekat, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun keluar dari rumah keluarganya di Seksyen 20, Shah Alam petang Ahad lalu.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kehilangan remaja itu dilaporkan oleh bapanya pada jam 9.27, 10 Mac lalu.
Remaja itu merupakan anak kedua daripada lima orang adik-beradik dan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah Menengah di Shah Alam.
“Punca mangsa meninggalkan rumah disebabkan teguran bapanya kerana terlalu leka bermain telefon, ditambah lagi dengan sekatan akses internet oleh bapanya,” kata Mohd Iqbal dalam satu kenyataan di sini.
Remaja berkenaan memiliki ketinggian 158 cm, berat badan 53 kg, berkulit sawo matang, dan berbadan kurus.
Dia memakai baju putih lengan panjang, tudung warna hitam, seluar panjang warna hitam, dan membawa satu beg sandang ketika keluar rumah.
Susulan laporan itu, polis telah membuka Kertas Enkuiri Polis Orang Hilang (KEP OH) untuk menyiasat kehilangan mangsa dalam kes ini.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Sabryna Binti Mohammad Taha ditalian 014-5130450. – MalaysiaGazette