KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025-2028 yang akan diadakan Mei ini.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Rodziah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan akan mencabar penyandang jawatan tersebut yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut Rodziah, bersandarkan komitmen dan pengalaman lebih 20 tahun memberdaya wanita, beliau optimis dengan dukungan pimpinan yang bakal dibentuk.
Jelas beliau, kepimpinan baharu kelak juga mampu membangkitkan daya tahan, daya saing dan daya juang Wanita Keadilan demi mengukuhkan agenda perubahan di peringkat nasional.
“Marilah kita semua bekerja keras bersama-sama dalam satu pasukan untuk memastikan Wanita Keadilan kembali bersemangat, berpadu dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.
“Dengan pembentukan saf pasukan yang kompeten, kita mampu membina legasi besar yang tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Rodziah pernah mencabar Fadhlina pada pemilihan PKR 2022 namun tewas tipis dengan 32 undi apabila mendapat 18,891 undi berbanding Fadhlina (18,923 undi).
PKR dijadual mengadakan pemilihan peringkat bahagian bermula dari 11 hingga 20 April ini manakala bagi kepimpinan pusat pula akan berlangsung pada 24 Mei depan.
Sementara itu, Rodziah berkata, perjuangan representasi wanita tidak boleh dianggap sekadar pada jumlah penyenaraian calon wanita dalam pilihan raya semata-mata.
Sebaliknya, jelas beliau, cita-cita besar wanita dalam arena politik adalah bagi melahirkan bakat-bakat pemimpin di pelbagai lapisan dan organisasi masyarakat.
“Takungan bakat kepimpinan sedia ada tidak boleh sekadar memanaskan kerusi semata-mata, bahkan, perlu diberdaya sehingga mampu berperanan penting menentukan dasar dan hala tuju pengurusan di peringkat masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette