JASIN – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang membuat pusingan U secara melulu di Jalan Datuk Mulia, Taman Scientex, Serkam di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hamdan Sulaiman,34, maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas mangsa bersama motosikalnya dipercayai terperosok di bawah lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas mangsa merempuh bahagian sisi kanan sebuah lori yang sedang membuat pusingan U secara melulu.
“Kedua-dua kenderaan sebelum itu datang dari arah bulatan Scientex Serkam menuju ke Bukit Kepok sebelum lori yang dipandu lelaki berusia 62 tahun di hadapan mangsa membuat pusingan U secara melulu di garisan berkembar.
“Motosikal mangsa bagaimanapun tidak sempat brek lalu melanggar bahagian sisi kanan lori tersebut dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambahnya, mayat dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi, di talian 011-11127533 atau Kaunter Aduan Trafik IPD Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260. – MalaysiaGazette