Kaki Palsu Cetakan 3D ini mempunyai ciri utama yang jauh lebih menarik dalam pelbagai ciri antaranya ia lebih ringan dengan berat purata 1 kilogram sahaja dan membuatkan pemakai lebih selesa.

MELAKA – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini berjaya mencipta produk inovasi yang dikenali sebagai Kaki Palsu Cetakan 3D yang memiliki kelebihan tersendiri dan berbeza dengan kaki palsu di pasaran.

Ketua penyelidiknya, Mohammad Rafi Omar berkata, Kaki Palsu Cetakan 3D mempunyai ciri utama yang jauh lebih menarik dalam pelbagai ciri antaranya ia lebih ringan dengan berat purata satu kilogram sahaja dan membuatkan pemakai lebih selesa.

Produk yang sama  dilengkapi dengan reka bentuk ergonomik dengan pengudaraan baik yang mempunyai struktur berlubang bagi membantu mengurangkan peluh dan meningkatkan keselesaan pemakai terutamanya bagi pesakit diabetes yang mudah mengalami iritasi kulit.

“Pembuatannya selari dengan teknologi semasa menggunakan teknologi 3D Printing Selective Laser Sintering (SLS) yang memastikan proses pembuatan lebih pantas, lebih tepat dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.

“Daripada segi kos penghasilannya pula adalah lebih rendah berbanding kaki palsu tradisional yang agak mahal namun tetap mempunyai kualiti yang tinggi tanpa menjejaskan ketahanannya,” ujarnya.

Produk berkenaan dihasilkan sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad, Ts. Dr. Muhammad Ilman Hakimi Chua Abdullah, Ts. Mohd Zakaria Mohammad Nasir, Ahmad Zul Husni Che Mamat, TC. Basri Bidin, TC. Zulkifli Jantan dan TC. Kamaruddin Abu Bakar.

Menceritakan tentang cetusan awal penghasilan produk ini, Mohammad Rafi menyatakan idea tercetus berdasarkan maklum balas pengguna yang memerlukan kaki palsu yang lebih ringan dan selesa.

“Pada masa yang sama, rata-rata pengguna kaki palsu konvensional mengadu akan ketidakselesaan akibat peluh berlebihan terutama pesakit diabetes dan situasi ini boleh menyebabkan kegatalan, jangkitan dan berisiko membawa kepada komplikasi serius seperti amputasi tambahan.

“Maka kami (kumpulan penyelidik) merasa terpanggil untuk mencurahkan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan produk inovasi ini yang tentunya membantu golongan yang amat memerlukannya,” katanya dalam kenyataan.

Menyentuh tentang jangka masa dan cabaran dalam penghasilan produk, beliau menyatakan proses penghasilannya mengambil masa sekitar dua minggu yang mana bermula dengan peringkat reka bentuk hinggalah ke proses pembuatan akhir.

Majlis penyerahan kaki palsu cetakan 3D UTeM telah berlangsung di Samsung IoT, Kampus Teknologi, UTeM sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) yang diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka di bawah tajaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), baru-baru ini.

“Namun ada juga sedikit cabaran yang dihadapi antaranya seperti menyesuaikan reka bentuk kaki palsu mengikut saiz dan keperluan individu pesakit kerana setiap pesakit mempunyai bentuk kecacatan yang berbeza, jadi proses pembuatan memerlukan analisis khas untuk memastikan keselesaan dan keberkesanan penggunaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus proaktif melangkah ke hadapan dalam konteks penghasilan produk inovasi yang dapat membantu masyarakat termasuklah golongan sasaran tertentu.

“Bagi produk inovasi ini, produk ini telah membantu penerima kaki palsu untuk bergerak dengan lebih bebas menikmati kualiti hidup yang lebih baik di samping meluaskan peluang untuk mereka mudah untuk bekerja bagi menjana pendapatan sendiri.

“Pada masa yang sama dalam aspek pengkomersialan pula produk ini dilihat mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan kerana ia lebih ringan, selesa dan mampu milik.

“Dengan kerjasama pihak industri dan pelabur, produk ini boleh diperluaskan ke pasaran tempatan dan antarabangsa untuk manfaat lebih ramai pengguna,” ujarnya memberi pandangan terhadap hasil penyelidikan kumpulan penyelidik UTeM.

Sehingga kini sebanyak tujuh unit kaki palsu telah diserahkan kepada tujuh penerima yang terpilih, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dari pelbagai daerah di Negeri Melaka.

Penyerahan telah disempurnakan sewaktu majlis penyerahan kaki palsu cetakan 3D UTeM telah berlangsung di Samsung IoT, Kampus Teknologi, UTeM sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) yang diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka di bawah tajaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) baru-baru ini.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan bersama Timbalan Exco, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here