Onn Hafiz (kiri) menerima cemderamata daripada pihak Khazanah Nasional selepas melakukan pertemuan di Kuala Lumpur.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad dalam membangunkan Johor dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara fokus utama adalah perkembangan pesat pembangunan negeri termasuk perancangan menjadikan Iskandar Puteri sebagai bandar metropolitan baharu.

Jelasnya, daerah tersebut akan berfungsi sebagai pusat ekonomi moden dan inovasi.

“Inisiatif ini bukan sahaja merapatkan jurang antara Johor dan pusat ekonomi utama, tetapi juga meningkatkan keterhubungan strategik, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Johor kini sedang giat memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau melalui Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ). Dengan sokongan Khazanah dalam penyediaan ekosistem pelaburan yang kondusif, lebih banyak syarikat antarabangsa dapat menjadikan Johor sebagai pusat operasi utama mereka.

“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Khazanah, setiap inisiatif yang digariskan ini dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” tulisnya dalam hantaran Facebook miliknya.

Onn Hafiz mengetuai kerajaan negeri bertemu pihak Khazanah Nasional di Kuala Lumpur kelmarin yang bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak.

Pertemuan itu menjadi platform penting dalam membincangkan agenda pembangunan berimpak tinggi bagi memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama negara dan serantau.

Mengulas lanjut, beliau yakin sinergi itu akan membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat, selaras aspirasi Johor untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

Khazanah Nasional, katanya, telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Johor melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur, hartanah, pelancongan, pendidikan dan pembangunan bakat.

“Sebagai pemegang pelaburan utama di Johor, khususnya dalam Iskandar Malaysia dan Desaru, Khazanah telah menyumbang kepada pembangunan Medini, Puteri Harbour, Gerbang Nusajaya dan Desaru melalui IIB, UEM Sunrise dan Desaru Coast.

“Dalam sektor pendidikan, Khazanah membangunkan EduCity di Iskandar Puteri sebagai hab pendidikan antarabangsa manakala dalam sektor pelancongan, Khazanah turut melabur di Desaru melalui pembangunan Desaru Coast yang kini menjadi destinasi pelancongan premium di rantau ini,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here