NEW DELHI – Air India mengesahkan salah satu penerbangannya dari Amerika Syarikat (AS) terpaksa berpatah balik minggu lalu selepas lapan tandas dalam pesawat tersebut tersumbat.
Difahamkan kejadian itu berlaku apabila ada penumpang membuang beg plastik, kain buruk dan pakaian dengan menyumbatnya ke dalam tandas pesawat.
Pesawat itu, yang dalam perjalanan dari Chicago ke New Delhi, menghabiskan beberapa jam di udara sebelum ia kembali ke bandar AS itu.
Klip video dari dalam pesawat menunjukkan rakaman penumpang berkerumun di sekeliling anak kapal yang kelihatan menjelaskan keadaan.
Insiden itu berlaku pada 5 Mac dalam Penerbangan 126 Air India, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.
Kira-kira dua jam selepas penerbangan, anak kapal melaporkan beberapa tandas “tidak boleh digunakan”.
Selepas itu, mereka mendapati lapan daripada 12 tandas dalam kelas perniagaan dan ekonomi tidak boleh digunakan, “menimbulkan ketidakselesaan kepada semua penumpang”.
Ketika kejadian pesawat itu membawa sehingga 342 orang penumpang dan sedang terbang di atas Lautan Atlantik, menurut kenyataan Air India.
Disebabkan sekatan pada operasi malam di kebanyakan lapangan terbang Eropah pada masa itu, juruterbang memutuskan untuk kembali ke Chicago untuk “keselesaan dan keselamatan penumpang”.
Semakan menerusi laman web penjejakan penerbangan Flightradar24 mendapati pesawat itu berada berhampiran Greenland ketika ia berpusing, dan telah menghabiskan masa selama 10 jam di udara.
Air India berkata, siasatan kemudiannya menemui “beg polythene, kain buruk dan pakaian yang telah disiram dan tersangkut di paip” tandas pesawat.
Ia mengeluarkan beberapa gambar yang menunjukkan beg berisi sisa dibersihkan dari tandas.
Satu gambar menunjukkan seorang anak kapal memegang paip saliran yang penuh dengan kain buruk. – Agensi