DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan rombongan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pagi ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau dengan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.

Menurut Perdana Menteri, dalam pertemuan itu juga, beliau turut menekankan berkenaan pentingnya untuk memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam.

Ujarnya, beliau amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.

Anwar menerima kunjungan rombongan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah dari Kelantan itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pagi ini.

“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.

“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima kunjungan rombongan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah dari Kelantan itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pagi ini.

Pertemuan itu adalah hasil jemputan Anwar sendiri yang disampaikan ketika kumpulan berkenaan menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, dalam pertemuan itu juga, beliau dan para alim ulama berkenaan sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan.

Dalam ruang yang sama, ujarnya, beliau turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.

“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here