KUALA LUMPUR- Prospek untuk perkhidmatan huluan minyak dan gas tempatan pada 2025 kekal kukuh dengan jangkaan peningkatan secara beransur-ansur dalam Indeks Pengurus Pembelian (IPP) global kitaran untuk 2025.
Kenanga Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata industri perkhidmatan huluan kekal dalam kitaran naik dari segi asas dengan garis atas dan margin dijangka kekal stabil atau bertambah baik pada 2025 terutamanya untuk penggiat yang menumpukan penyelenggaraan.
Bagaimanapun, kemerosotan sentimen pasaran keseluruhan baru-baru ini terus menurunkan penilaian pemain perkhidmatan bermodal kecil hingga sederhana kepada nisbah harga kepada pendapatan 6x-8x secara purata dengan majoriti mereka berdagang di bawah satu sisihan piawai (SD), katanya.
“Terutamanya Dayang Enterprise ia didagang pada -2SD, tahap yang hanya dilihat sebelum ini pada awal 2020.
“Petronas Chemicals juga didagangkan pada -2SD, paras yang jauh lebih rendah berbanding paras terendah semasa pandemik COVID-19 (sedikit lebih rendah daripada -1SD),” katanya.
Dayang Enterprise dan Keyfield dijangka terus mendapat manfaat daripada aktiviti penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian, penyambungan dan pentauliahan tahun ke tahun lebih tinggi, disokong oleh permintaan yang stabil dan menghadkan bekalan kapal sokongan luar pesisir.
“Wasco dijangka mengekalkan aktiviti ‘solid pipe-coating’ walaupun untuk memperoleh kontrak kejuruteraan besar sekali lagi mungkin mencabar,” katanya.
Ia juga berkata bahawa Dialog Group menjangkakan bahawa kerugian dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan berkurangan selepas peruntukan dilihat pada suku kedua 2025.
“Sebaliknya, Velesto dan Armada menjangkakan prestasi yang lebih lemah disebabkan oleh peningkatan tinjauan berkala khas dan pengurangan pendapatan daripada pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Kraken apabila ia memasuki tempoh lanjutan,” katanya.
Secara keseluruhannya, bank pelaburan itu mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor itu dengan penekanan sama diberikan kepada penyedia perkhidmatan huluan dan penggiat hiliran.
— BERNAMA