MOSCOW – Ukraine melancarkan serangan terbesar dron ke atas Moscow dengan sekurang-kurang 91 buah dron menyasarkan ibu negara Rusia itu.
Ia menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, kebakaran, penutupan lapangan terbang dan lencongan penerbangan, menurut pihak berkuasa Rusia.
Para pegawai Rusia melaporkan sebanyak 337 dron ditembak jatuh, termasuk 91 dron di Moscow dan 126 dron ditembak di wilayah Kursk di mana tentera Ukraine sedang berundur.
Serangan berskala besar pada subuh dilakukan ketika para pegawai Ukraine dijadual bertemu delegasi Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi bagi menerokai potensi mengadakan rundingan damai dalam konflik yang berterusan, dengan tentera Rusia mengepung beribu-ribu tentera Ukraine di Kursk.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata, pertahanan udara masih memintas serangan di bandar dan kawasan sekitar yang diduduki 21 juta orang.
“Serangan paling besar UAV (dron) ke atas Moscow telah ditangkis,: kata Sobyanin dalam hantaran di aplikasi Telegram.
Gabenor Wilayah Moscow, Andrei Vorobyov dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.
Katanya, beberapa penduduk dipindahkan dari sebuah bangunan di daerah Ramenskoye, kira-kira 50 kilometer di tenggara Kremlin.
Walapun diserang, perkhidmatan komuter di Rusia berjalan seperti biasa di pusat bandar.
Namun pihak berkuasa penerbangan Rusia menghentikan operasi empat buah lapangan terbang di Moscow selain dua lapangan terbang di wilayah Yaroslavl dan Nizhny Novgorod, timur Moscow turut diarah ditutup. – Agensi