Ismail Sabri Yaakob

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis ini, bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ahli Parlimen Bera itu dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk memberi keterangan pada 10 pagi.

Azam berkata, sijil cuti sakit Ismail Sabri akan berakhir esok.

“Beliau (Ismail Sabri akan) hadir untuk dirakam percakapan berdasarkan siasatan sedang dijalankan dan saksi-saksi tambahan (juga) akan dipanggil dalam tempoh terdekat secara gradual ke pejabat SPRM untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dengan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Berbuka Puasa, di sini, hari ini.

Pada majlis menandatangani nota kerjasama itu, SPRM diwakili Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy manakala DBKK diwakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Sumber SPRM hari ini dilaporkan berkata, suruhanjaya itu telah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

Sebanyak 23 lagi saksi baharu dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, perdana menteri kesembilan itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Februari lepas.

Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.

SPRM  juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Azam, siasatan dijalankan secara profesional dan dakwaan kononnya SPRM telah meletakkan wang sebanyak RM170 juta dalam safe house itu adalah tidak munasabah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here