KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk mengadakan dan memaksakan memorandum persefahaman (MoU) bagi memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Apatah lagi, kata Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, MoU itu tidak bersifat transformatif atau reformatif, tetapi sebaliknya lebih kepada hasrat mengekang dan kompulsif.
Dakwa beliau, syarat-syarat yang dikenakan menerusi MoU itu juga boleh menjejaskan kebebasan Ahli Parlimen, bercanggah dengan nilai budaya, moral dan agama, serta tidak mempunyai mekanisme pelaksanaan yang jelas.
Dalam masa sama, tambahnya, pemberian peruntukan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen juga adalah salah satu janji dalam Manifesto Harapan 2022.
“Perlu diingatkan, kawasan yang tercicir daripada mendapat peruntukan ini adalah kawasan majoriti pengundinya adalah pengundi Melayu.
“Jika setiap tahun sebanyak RM3 juta diberikan kepada kawasan ini untuk membantu rakyat di kawasan tersebut, bermaksud untuk tempoh lima tahun rakyat di kawasan ini akan tercicir bantuan sebanyak RM15 juta, ini adalah suatu jumlah yang banyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tun Faisal turut mempersoalkan keperluan untuk Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta seperti yang disyaratkan menerusi MoU peruntukan tersebut.
Menurut beliau, Ahli Parlimen pembangkang tidak terlibat secara langsung dalam peruntukan kerajaan seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Ahli Parlimen kerajaan yang memegang jawatan dalam agensi atau syarikat milik kerajaan (GLC).
“Dari segi proses, peruntukan pembangkang bukan diluluskan oleh Ahli Parlimen pembangkang, tetapi oleh mereka yang berada dalam kerajaan, termasuk Menteri Kewangan.
“Oleh itu, kemungkinan untuk penyalahgunaan peruntukan adalah rendah kerana terdapat agensi yang mengawasi, seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC); Jabatan Audit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau penggunaan peruntukan oleh Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
Tambah Tun Faisal, peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen Pembangkang tidak sepatutnya bergantung kepada sebarang perjanjian atau MoU kerana kerajaan hari ini bukan kerajaan minoriti atau kerajaan dengan majoriti tipis.
“Peruntukan ini harus diberikan secara telus dan saksama tanpa syarat yang membebankan atau bertentangan dengan prinsip demokrasi, serta tanpa sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, ruang untuk pembangkang berunding mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka masih terbuka.
Sehubungan itu, Anwar mempersoalkan tindakan pembangkang yang masih berbuat “bising” di luar, tanpa mengambil inisiatif untuk bermesyuarat mengenai isu peruntukan itu dengan kerajaan.
Kenyataan itu susulan penegasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tetap menolak MoU tersebut kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil. – MalaysiaGazette