ISKANDAR PUTERI – Kelab gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) 2024/25 selepas tewas 0-1 kepada wakil Thailand Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Keputusan itu bagaimanapun mengulangi pencapaian skuad Harimau Selatan yang dilakar pada saingan ACLE edisi 2022.

Terdahulu, gawang Buriram United berjaya dibolosi seawal saat ke-47, namun jaringan Bergson Da Silva dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau berada pada kedudukan ofsaid.

JDT yang juga Juara Liga Super musim ini sekali lagi berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-28, namun percubaan pemain tengah Afiq Fazail sekadar singgah di tiang gol.

Perlawanan dramatik dan penuh debaran itu disambung pada babak kedua apabila Buriram United dilihat mendapat suntikan tenaga dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya di kawasan kubu lawan.

Buriram United akhirnya berjaya memperoleh gol hasil tendangan lencong penyerang Suphanat Mueanta pada minit ke-58, sekali gus meletakkan pasukan pelawat di depan.

Pasukan tuan rumah sekali lagi mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang JDT Jorge Lorenzo Rojas berjaya menyempurnakan hantaran Arif Aiman pada minit ke-97, namun VAR sekali lagi membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tiupan wisel penamat pada perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 35,000 penonton.

Pusingan suku akhir ACLE bakal berlangsung di Arab Saudi bermula 25 April hingga 4 Mei ini. Juara kejohanan itu akan melayakkan diri ke Kejohanan Piala Antara Benua FIFA 2025 dan Piala Dunia Kelab FIFA serta melayakkan diri secara automatik dalam ACLE edisi tahun depan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here