Foto FB FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik penganjuran AFC Women’s Football Day 2025 dalam usaha memperkasakan lagi arena bola sepak wanita.

Program yang berlangsung di Padang Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Kota Kinabalu, Sabtu lalu itu melibatkan pemain dari serata kelab di Sabah yang melibatkan peringkat umur 10 hingga 16 tahun.

Exco FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, beliau teruja melihat barisan pemain yang menunjukkan komitmen dan semangat tinggi ketika mengikuti program anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu.

“Kita menyambut baik penganjuran AFC Women’s Football Day 2025 dan saya berterima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

“Terima kasih juga kepada para pemain yang mengambil bahagian kali ini. Ia memberikan makna yang cukup berbeza kepada unit bola sepak wanita FAM.

“Program seumpama ini cukup baik kerana ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bola sepak wanita dan menambah bilangan penyertaan di seluruh Asia,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook FAM hari ini.

Suraya berharap barisan pemain yang mengikuti program tersebut dapat mempertingkatkan kualiti permainan mereka sebelum bergelar pemain profesional suatu hari nanti.

“Pemain-pemain perlu terus bersemangat berlatih untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Exco FAM, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM berkata, usaha yang dilakukan oleh AFC itu selaras dengan visi dan misi FAM untuk memperkasa bola sepak wanita di Malaysia.

“Segala aktiviti yang diatur bagi program AFC Women’s Football Day 2025 ini berjalan lancar.

“Usaha ini seiring bagi menyambut Hari Wanita Sedunia dan semoga maju jaya buat bola sepak wanita Malaysia,” jelasnya.

Antara aktiviti yang dijalankan pada program tersebut adalah perjumpaan bersama atlet pelajar bola sepak wanita di Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan permainan bola sepak wanita melibatkan ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here