Gambar hiasan

Oleh: Nor Athira Md Amin dan Nurulisyazila Othaman

BAHASA Melayu pernah menjadi bahasa utama dan lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu, para pedagang dari pelosok dunia berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan diplomasi dan perdagangan. Perkara ini merupakan kemuncak kepada perkembangan bahasa Melayu dengan penyatuan pelbagai etnik dan komuniti yang menjadi cerminan kepada identiti dan warisan budaya kita.

Bahasa kebangsaan bukan sahaja alat komunikasi, bahkan sebagai alat yang mampu menautkan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan serta menghubungkan generasi dan masyarakat. Sehubungan itu, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan sejajar dengan perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Sungguhpun demikian, sejauh manakah bahasa Melayu dapat menghadapi cabaran dalam memperkasakan kedudukan sebagai bahasa kebangsaan pada era globalisasi dan teknologi kini? Oleh itu, perkara ini perlu dikupas dan pelbagai resolusi perlu diketengahkan selain daripada membincangkan isu-isu utama yang mempengaruhi penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan.

Penggunaan bahasa kebangsaan dalam lapisan masyarakat
Aspek sosial mempengaruhi penggunaan bahasa kebangsaan dalam lapisan masyarakat. Misalnya, ada yang mengatakan bahasa Melayu hanya untuk golongan masyarakat biasa. Manakala golongan elit yang berpendidikan dan intelektual menggunakan bahasa lain  terutamanya yang pernah berhijrah ke luar negara atas tujuan kerja atau belajar serta sudah sebati dengan bahasa luar. Dengan adanya jurang bahasa seperti ini, komunikasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan terbatas. Apabila keterbatasan ini wujud, ungkapan dalam pertuturan juga tidak lagi efektif untuk menyampaikan mesej-mesej tertentu.

Oleh sebab itu, antara cara untuk golongan intelektual membantu dalam menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu adalah dengan penyelidikan dan pendidikan seperti menggunakan istilah-istilah dalam bahasa Melayu. Pempengaruh dalam bidang bahasa perlu menyediakan lebih banyak pengisian melalui media sosial berkenaan bahasa kebangsaan yang betul serta mengikut peredaran masa bagi anak muda masa kini. Maka, bahasa Melayu dapat meraih penuturnya kembali, sekali gus memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Karya penerbitan
Sebagaimana yang kita tahu, cara untuk memahami dan meningkatkan penggunaan bahasa adalah melalui pembacaan. Dengan membaca, kita dapat meningkatkan
penggunaan kosa kata, mengetahui struktur Bahasa dan membantu komunikasi. Bagi mencapai tujuan ini, maka pihak yang terlibat ialah industri penerbitan.
Industri penerbitan memainkan peranan dalam menerbitkan karya-karya luar dan tempatan. Namun, terdapat lambakan karya luar dan tempatan yang diterbitkan tidak
menggunakan bahasa kebangsaan.

Hal ini disebabkan oleh faktor permintaan pasaran dalam industri buku dan penerbitan. Badan-badan penerbitan perlulah mempunyai inisiatif untuk mengetengahkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pembaca dan pengguna. Pihak terbabit perlu giat menterjemahkan karya-karya yang menggunakan bahasa lain kepada bahasa kebangsaan. Jika penterjemahan kepada bahasa kebangsaan giat dijalankan, maka penggunaan bahasa kebangsaan pasti dapat digunakan dengan lebih meluas. Buku yang diterbitkan dalam bahasa kebangsaan pastinya dapat mengekalkan nilai-nilai budaya dan jati diri individu sebagai penutur bahasa kebangsaan.

Media dan digital
Perihal media dan digital tidak terkecuali dalam perbincangan bahasa kebangsaan. Dasawarsa ini, dunia terhubung tanpa batas menjadikan penggunaan pelbagai
bahasa tidak terhad. Sering kali, kita mendengar isu media dan digital mempengaruhi keseluruhan aspek kehidupan seiring dengan teknologi yang kian
berkembang pesat. Sehubungan itu, bahasa kebangsaan juga turut terkesan dengan isu ini sebagai simbol kasih sayang selain daripada menjadi medium komunikasi.

Tambahan lagi, penggunaan teknologi dan permainan video yang kebanyakannya dalam bahasa asing turut menyumbang kepada masalah penguasaan bahasa kebangsaan yang semakin lemah. Pihak tertentu perlu menggembleng tenaga dan mengorak langkah dalam mempromosikan serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seiring dengan bahasa-bahasa lain di mata dunia khususnya penggunaan platform digital.

Penggunaan bahasa dalam sistem pendidikan
Seterusnya, sistem pendidikan yang lebih menekankan bahasa asing sebagai bahasa pengantar turut menjadi cabaran lain dalam memperkasakan bahasa kebangsaan. Persepsi sosial tentang penguasaan bahasa asing adalah lebih penting untuk kejayaan masa hadapan juga memainkan peranan. Perkara ini dapat dilihat apabila para graduan menggunakan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan sewaktu sesi temu duga kerja.

Bagi mengatasi masalah ini, kempen kesedaran tentang kepentingan bahasa kebangsaan melalui aktiviti komuniti dan pengisian yang menarik dalam institusi pendidikan perlu giat dijalankan. Penggunaan media sosial secara maksimum dalam menguar-uarkan penggunaan bahasa kebangsaan melalui aplikasi TikTok, X dan lain-lain juga boleh membantu meningkatkan kesedaran terhadap bahasa kebangsaan. Selain itu, majikan juga perlu menitikberatkan penggunaan bahasa kebangsaan sewaktu sesi temu duga berjalan.

Usaha pelbagai pihak
Bahasa kebangsaan dapat diperkasakan sekiranya para penuturnya bersatu dalam menghadapi segala cabaran bahasa kebangsaan dalam segenap aspek kehidupan.
Bahasa kebangsaan akan terus subur sebagai alat untuk mengukuhkan jati diri individu dan perpaduan masyarakat sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. Memetik kata-kata Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ‘Usaha untuk maju dalam bahasa lain jangan sampai ke tahap meminggirkan bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan amat berpotensi bagi menyatukan rakyat Malaysia’.

Oleh itu, pengutamaan terhadap bahasa kebangsaan dapat menjadikan seluruh lapisan masyarakat menjadi generasi yang mencintai bahasa kebangsaan pada masa sekarang dan akan datang. Kita juga tidak mahu melihat suatu hari nanti bahasa kebangsaan semakin dipandang sepi dalam komuniti. Mana mungkin kita akan terus selesa melihat pewaris generasi kini menggunakan bahasa kebangsaan dengan bahasa ‘rojak’ atau penggunaan yang salah dan cacamarba.

Penulis adalah Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here