Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan meneruskan amalan ‘bailout’ (langkah penyelamatan) dengan menyuntik RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (Sapura Energy) melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) mendapat perhatian pembangkang.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, langkah ini bertentangan dengan pendirian tegas yang diambil oleh pemimpin PKR dan DAP sebelum ini terhadap tindakan serupa semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkembangan terbaharu ini pastinya mengejutkan banyak pihak kerana amalan ‘bailout’ ini ditentang hebat oleh parti DAP & PKR terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir (PM4), termasuklah yang paling lantang menentang ialah DS Anwar (PM10) ketika pembangkang dahulu.

“Secara spesifik, cadangan ‘bailout’ terhadap Sapura Energy pernah dikemukakan oleh DS Najib (PM6), dan telah ditentang oleh (Datuk Seri) Rafizi pada 2022 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Syahir merujuk laporan media bahawa Sapura Energy yang memperoleh pelaburan berjumlah RM1.1 bilion daripada langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal daripada Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. (MDH).

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya untuk digunakan bagi penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh Kumpulan Sapura Energy kepada pembekal perkhidmatan Malaysia yang beroperasi atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

Dalam pada itu, Syahir berkata, timbul beberapa persoalan mengenai aspek tatakelola dalam proses ‘bailout’ Sapura Energy.

Antaranya rasional dan merit terhadap penyaluran dana awam berjumlah RM1.1 bilion ini kepada sebuah syarikat yang berdepan kerugian dan tidak berdaya saing dan adakah suntikan tersebut melibatkan dana awam yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2025.

“Adakah tindakan ‘bailout’ ini merupakan keputusan Jemaah Menteri secara konsensus? – Kalangan Menteri daripada parti DAP pastinya terpanggil untuk menjawab persoalan ini kepada Pengerusi DAP, YB LGE, yang kuat menentang amalan ‘bailout’ sejak kepimpinan TSri LKS.

“Adakah YB Rafizi sebagai Menteri Ekonomi bersetuju dengan langkah ‘bailout’ terhadap Sapura Energy kali ini? – Sedangkan YB Rafizi adalah individu yang paling lantang menentang cadangan DS Najib pada 2022,” soal Syahir lagi.

Sebelum ini, Anwar yang ketika itu Ketua Pembangkang pernah mengkritik cadangan Datuk Seri Najib Razak untuk ‘bailout’ atau selamatkan Sapura Energy yang dikelilingi hutang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here