KUALA LUMPUR – Enam mangsa cedera selepas bas ekpress yang dinaiki 39 penumpang terbalik di Kilometer (KM) 245.5 Lebuhraya Plus Utara Selatan Arah Utara di Rembau, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.01 pagi sebelum dikejarkan ke lokasi kejadian.
Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian turut dibantu BBP Senawang, Tampin, Kota, Seremban 2 dan Seremban.
“Sebaik anggota tiba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah bas ekpress dan terdapat 40 orang mangsa termasuk pemandu dilaporkan melibatkan 38 wanita dan dua lelaki dewasa.
“Terdapat enam wanita dewasa cedera ringan telah diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan dua daripadanya menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pada jam 7.25 pagi tadi dan siasatan lanjut diserahkan kepada pihak polis. – MalaysiaGazette