KUALA LUMPUR – Drama yang membawa mesej ajaran Islam tidak memerlukan unsur lucah kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip agama.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi mengulas alasan yang digunakan sebuah produksi yang dikritik kerana memasukkan unsur lucah dalam terbitan drama.
Katanya, tanpa elemen lucah mesej ajaran Islam tetap boleh disampaikan kerana matlamat yang baik tidak menghalalkan cara.
Tambah Ahmad Sanusi, jika pihak terbabit seganja merancang menggunakan elemen kontroversi sebagai cara untuk menarik jumlah tontonan melalui konsep bad marketing maka ia lebih teruk di sisi Islam.
“Rasulullah mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka. Sabda Rasulullah (bermaksud) Sesungguhnya para pengusaha (peniaga) akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan “fujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.
“Malah Rasulullah turut mengecam pengusaha yang menggunakan elemen lagha (sia-sia) dalam produk mereka apatah lagi mereka yang menggunakan unsur-unsur kelucahan yang menjengkelkan.
“Sabda Rasulullah: Wahai para peniaga, sesungguhnya perusahaan ini akan disertai dengan unsur lagha (sia-sia dan dosa) dan sumpah (bagi tujuan melariskan). Maka hapuskanlah ia dengan sedekah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada penerbit mahu mencari sumber pendapatan melalui jalan yang dicegah oleh Allah melalui unsur lucah yang sengaja dimasukkan bagi melariskan drama.
Katanya, sumber rezeki melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah itu akan menjadi darah daging sambil beliau memberi peringatan bahawa sumber haram akan mengganggu ibadah dan doa seseorang.
“Sabda Rasulullah: Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku,
“Wahai Tuhanku, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipenuhi dengan sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan diterima?” katanya.
Heboh diperkatakan di media sosial, adegan lakonan Vanida Imran mengusap janggut Faizal Hussein menggunakan kaki dalam sebuah drama sehingga mencetuskan rasa kurang senang.
Penulis skrip, Erma Fatima berkata, beliau cuma mahu sampaikan mesej kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mencari sesuatu ilmu agama.-MalaysiaGazette