PUTRAJAYA – Hakim perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berharap prosiding yang sudah berlarutan hampir tujuh tahun, akan memperlihatkan ‘cahaya di hujung terowong’.
Datuk Collin Lawrence Sequerah memohon kerjasama semua pihak untuk menyudahkan kes itu namun ia semakin berpanjangan dan mengambil masa terlalu lama.
“Saya mohon kerjasama semua pihak, saya tidak meminta yang mustahil. Semalam, mahkamah `mengorbankan’ satu tarikh perbicaraan bagi memudahkan pelbagai pihak membuat persediaan untuk berhari raya.
“Namun, mahkamah tidak boleh kehilangan tarikh secara berterusan tanpa diganti,” ujar beliau sebelum menyambung prosiding bela diri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini.
Sebelum perbicaran bermula, Hakim Collin mahu menetapkan tarikh gantian perbicaraan selepas beliau memberi kelonggaran dengan melapangkan tarikh 28 Mac (minggu akhir sebelum sambutan Aidilfitri) yang telah dijadual sebelum ini.
Namun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencelah bahawa pihak pembelaan tidak dapat mencadangkan tarikh tambahan kerana terikat dengan kes di mahkamah lain.
Shafee berkata, pembelaan telah cuba untuk menampung beberapa tarikh tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana jadualnya padat manakala mahkamah lain tidak bersedia untuk menangguhkan perbicaraan masing-masing.
Collin: Tapi perbicaraan ni sudah berlarutan terlalu lama, pasti ada `cahaya di hujung terowong’. Kita sudah menghampiri tujuh tahun sekarang.
Shafee: Betul, tetapi ia berpanjangan disebabkan sifat kes ini. Saya tidak akan mengorbankan kesihatan saya.
Collin: Sudah tentu, namun perlu ada tarikh gantian, perbicaraan masih berterusan.
Shafee: Saya telah cuba, selama ini saya bekerja berterusan, siang dan malam.
Collin: Semua pihak bekerja dan perbicaraan kes ini terus berlarutan dan menggunakan dana kerajaan.
Shafee: Saya mengambil maklum perkara itu namun kita tidak wajar mengorbankan standard hanya untuk mempercepatkan kes.
Collin yang kini hakim Mahkamah Rayuan turut mengingatkan semua pihak bahawa perbicaraan bermula pada Ogos 2019.
Prosiding kemudian disambung dengan mendengar keterangan bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman, Senior Assistant Commissioner (SAC) R. Rajagopal selaku saksi pembelaan ke-11 (DW11).
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette