Orang ramai mengambil kesempatan berbuka puasa beramai-ramai pada bulan ramadan di hujung minggu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2025.

 

Oleh: Wan Nor Ahmad Syaifuddin bin Wan Norazmi

MENJELANG hari raya, semua insan pastinya akan merasai nadi kegembiraan dalam menyambutnya. Dalam suasana menuju hari kemenangan, umat Islam yang
menepati syarat wajib berpuasa terlebih dahulu difardukan untuk menjalani salah satu daripada lima rukun Islam sepertimana yang terkandung dalam surah al-
Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada
kamu, supaya kamu bertakwa”.

Ibadah puasa yang dimaklumi mempunyai rimbunan kebaikan, akan menjadi ‘institusi’ terbaik yang mendidik jiwa umat Islam dalam membentuk peribadi yang sejahtera dari segala aspek termasuklah kesihatan mental. Hal ini kerana, sepanjang tempoh berpuasa, umat Islam dididik untuk lebih fokus jiwa dan minda, mengawal tekanan dan kegelisahan serta memperkukuh disiplin diri. Ketiga-tiga perkara ini pada akhirnya menatijahkan kendiri yang positif, segar dan sejahtera.

Tidak dinafikan bahawa ujian berpuasa itu lebihnya pada dugaan menahan rasa lapar dan dahaga. Seharian membanting tulang mengerah kudrat pastinya memercikkan keletihan dalam diri kita. Namun, berkat Ramadan, titik fokus kita hanya tertumpu untuk menyempurnakan ibadah puasa pada setiap hari meski lelah tidak terhenti. Di sini kita dapat melihat bahawa sekiranya sesuatu tumpuandiutamakan terhadap misi yang lebih besar, perkara-perkara kecil bukanlah suatu perkara yang sukar untuk diatasi.

Jika kita mampu mengekalkan fokus jiwa dan minda untuk menyempurnakan ibadah puasa, pastinya ganjaran akan dikurnia sepertimana hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya”.

Selain daripada itu, ibadah berpuasa juga mengajar kita untuk mengawal tekanan dan kegelisahan dengan strategik. Dalam keadaan menahan lapar dan dahaga, bara
api tekanan berkemungkinan akan merebak. Sekiranya ia tidak dikawal, pasti rosak amal kebaikan yang dilakukan. Oleh yang demikian, strategi bagi mengendurkan
tekanan serta kegelisahan ketika berpuasa antaranya ialah dengan melazimi pembacaan al-Quran.

Hal ini berlandaskan kepada firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat ke-28 yang bermaksud: “Dan golongan yang beriman itu tenang jantung hati mereka dengan mengingati Allah dan ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah jantung hati akan berasa tenang”. Tambahan pula, membaca al-Quran pada bulan Ramadan sangat mewah ganjarannya sepertimana potongan hadis Nabi Muhammad SAW: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda…” (Riwayat Muslim). Tidak seberapalah tekanan yang dialami jika dibandingkan ganjaran yang bakal diperoleh kelak.

Seterusnya, dalam mendidik diri agar mementingkan kesihatan mental yang baik pada bulan Ramadan, kita disarankan untuk menjaga lisan serta tingkah laku. Menjaga tutur bicara agar tidak mengeluarkan kata-kata yang sia-sia bukanlah suatu perkara yang mudah jika ia bukan amalan yang sering dilakukan.

Oleh itu, gunakanlah kesempatan pada bulan Ramadan ini untuk melatih dan memperkukuh disiplin diri terutama dalam aspek penjagaan lisan. Sabda Nabi SAW diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Apabila (pada) hari seseorang di antara kamu berpuasa, maka janganlah kamu berbicara kotor dan bertengkar (sambil berteriak). Jika seseorang menghinanya atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah dia mengatakan: “Aku sedang berpuasa”. Jelas pengajarannya di sini bahawa aspek utama dalam proses mendisiplinkan diri adalah dengan menjaga batas bicara agar tidak melukakan hati orang lain.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat membantu para pembaca untuk lebih cakna dalam memperkasa kesihatan mental pada bulan Ramadan. Semoga Ramadan
kali ini menatijahkan kendiri yang positif, segar dan sejahtera kepada kita semua.

Penulis merupakan Pegawai Psikologi, Seksyen Perhubungan Staf, Jabatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here