Sultan Pahang berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau di sini malam ini.

KUALA LUMPUR –  Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah mengingatkan umat Islam di negeri ini agar bangkit bersama-sama mempertahankan dan melindungi kesucian agama Islam agar tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda amat berdukacita mutakhir ini masih ada suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama, mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.

“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” titah baginda yang dikongsi di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau di sini malam ini.

Menurut baginda, umat Islam jangan sesekali berdiam diri apabila agama dihina walaupun sebagai seorang Muslim diajar mengikut resmi padi semakin berisi semakin menunduk.

“Jangan hanya kerana kelembutan dan kesopanan itu ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati.

“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan. Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini saya menyeru agar setiap muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,” tegas baginda.

Baginda turut menegaskan,  sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya bersama-sama bertanggungjawab mempertahankan agama suci ini.

“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai. Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara.

“Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan. Islam bukan sekadar agama tetapi suatu amanah yang mesti kita junjung, suatu warisan suci yang mesti kita pertahankan. Tidak kira siapa kita, apa warna kulit kita, dari manq asal usul kita, apa pun pangkat dan kedudukan kita.

“Selagi mana kita bernama muslim kita bertangungjawab mempertahankan agama suci ini,” titah baginda.

Justeru, baginda mengingatkan dalam sebuah negeri yang berbilang bangsa dan agama, tiada yang lebih utama selain nilai hormat-menghormati serta kesedaran untuk menjaga sensitiviti agama masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here