Dari kiri Anas Azmi, Afif Syahmi Azman, Muhammad Aidel Mohd Yassin, Ustaz Usamah Johar, Pegawai Perhubungan Koporat Jepun Da’wah Centre Wan Muhammad Amiruddin Wan Othman, Muhammad Luqman Nurhakim Mustafa

KUALA LUMPUR – Lima pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberikan peluang untuk menjalani latihan industri di Jepun sambil menggalas amanah sebagai imam solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Pengalaman berharga ini bukan sahaja membolehkan mereka mengasah ilmu dan kemahiran tetapi juga memperkukuhkan dakwah Islam di negara yang semakin berkembang komuniti muslimnya.

Kelima-lima pelajar ini merupakan mahasiswa dalam bidang Pengajian Qiraat di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.

Mereka tiba di Jepun pada 27 Februari lalu dan akan menjalani latihan industri sehingga pertengahan April ini.

Menjadi imam antara tugas yang dipikul mahasiswa USIM di Jepun.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka ditugaskan sebagai imam di beberapa masjid utama sekitar Osaka serta menyertai pelbagai program komuniti anjuran masyarakat Islam tempatan.

Bagi Muhammad Aidel Mohd Yassin peluang ini adalah pengalaman yang amat berharga dalam usaha menimba ilmu dan menyebarkan syiar Islam.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ini. Selain menjadi imam solat tarawih, saya turut menyampaikan tazkirah dan membantu mengimarahkan masjid. Ini adalah tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh amanah,” katanya.

Mahasiswa USIM mengambil peluang berdakwah secara tidak langsung dengan mempamerkan akhlak yang baik serta menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat Jepun yang berminat mengenali Islam.

Sementara itu, Afif Syahmi Azman mengakui berasa teruja dan gementar apabila dipilih untuk memimpin solat tarawih di Jepun.

“Ini kali pertama saya menyambut Ramadan di luar negara. Saya perlu bersedia dari segi fizikal, mental, dan spiritual. Lebih penting, saya mahu memastikan masyarakat Islam di sini merasai kehangatan suasana Ramadan seperti di negara-negara Islam,” jelasnya.

Afif dan Aidel menjalani latihan industri di Masjid Shiga, Higashiyagura, Kusatsu, manakala Anas Azmi dan Wan Muhammad Amiruddin Wan Othman pula ditempatkan di Jepun Da’wah Centre, Osaka.

Mereka mengakui bahawa bertugas sebagai imam di luar negara adalah cabaran besar, tetapi pada masa yang sama satu pengalaman berharga dalam memperkukuh keyakinan serta kemahiran menyampaikan ilmu Islam.

“Saya ingin membawa nama USIM ke peringkat antarabangsa dan berharap lebih ramai pelajar mendapat peluang seperti ini pada masa akan datang,” ujar Anas.

Selain bertugas sebagai imam, mereka juga membantu menyediakan iftar dan sahur untuk komuniti muslim Jepun.

Selain memimpin solat, mereka juga mengambil peluang berdakwah secara tidak langsung dengan mempamerkan akhlak yang baik serta menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat Jepun yang berminat mengenali Islam.

Sebelum berangkat ke Jepun, mereka telah melakukan pelbagai persiapan, termasuk memantapkan hafazan al-Quran, mengulangkaji ilmu fiqh, serta memahami budaya dan bahasa Jepun bagi memudahkan interaksi dengan masyarakat tempatan.

Selain bertugas sebagai imam, mereka juga membantu menyediakan iftar dan sahur untuk komuniti Muslim di sana.

Manakala Muhammad Luqman Nurhakim Mustafa yang menjalani latihan industri di Osaka Islamic Centre turut berkongsi bahawa suasana Ramadan di Jepun yang sangat berbeza berbanding di Malaysia.

“Masyarakat Islam di sini sangat menghargai kedatangan imam dari luar kerana mereka jarang mendapat peluang untuk merasai suasana Ramadan seperti di negara-negara Islam yang lain. Oleh itu, kami berusaha sebaik mungkin untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

Ibu bapa mereka turut menitipkan pesanan agar mereka sentiasa menjaga diri, iman, dan hafazan sepanjang berada di Jepun.

Bagi mereka, pengalaman ini bukan sekadar menabur bakti sepanjang Ramadan tetapi juga satu langkah penting dalam perjalanan dakwah dan akademik.

Misi lima pelajar ini membuktikan pelajar USIM mampu membawa Islam berkembang di mana sahaja dan pengalaman mereka bakal menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berbakti dan mengembangkan ilmu Islam di peringkat antarabangsa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here