Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram bagi pembelian kapal.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Majistret Noorfazlin Hamdan yang dipohon pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amzar Rashid.

Menurut sumber, suspek terkini ditahan susulan aduan yang dibuat oleh seorang mangsa warganegara Indonesia berhubung kontrak pembelian kapal Viet Tin 01 sekitar tahun 2020.

Sumber berkata, transaksi kewangan berkaitan kontrak tersebut dipercayai melibatkan penggunaan pengurup wang di Indonesia serta di sekitar Johor Bahru.

“Penggubahan wang haram bagi pembelian kapal itu melibatkan jumlah transaksi kewangan yang dilaporkan mencecah RM1.5 juta antara 2020 hingga 2022,” katanya

Suspek telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA 2001) bagi kesalahan berkaitan pengubahan wang haram.

Tangkapan dibuat di bawah Seksyen 72(3) AMLA 2001.

Sebelum ini, SPRM pernah menahan seorang pengarah syarikat yang lain kerana disyaki mengemukakan dokumen kepada sebuah mahkamah di Johor yang mengandungi butir matan palsu pada Februari 2022 membabitkan urusan pemilikan sebuah kapal dagangan yang sama.

Suspek sebelum ini pada tahun 2022 dipercayai menggunakan dokumen palsu itu untuk mendapat hak penjagaan sementara kapal terbabit yang dimiliki sebuah syarikat dari negara jiran kepada sebuah syarikat miliknya.

Bagaimanapun suspek menjual kapal itu dengan harga kira-kira RM 1.2 juta kepada sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja memotong kapal.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here