CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar yang memohon untuk memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) mulai tahun depan perlu memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Perdana Menteri, bakinya iaitu 30 peratus pelajar lagi yang memohon ke SBP boleh dikhususkan kepada pelajar dalam jurusan seni dan sains sosial.

Ujar beliau, langkah itu berikutan minat pelajar terhadap jurusan STEM termasuk kejuruteraan ketika ini dilihat semakin berkurangan.

Sedangkan, tambah beliau, ia merupakan satu kerugian ketika banyak syarikat telekomunikasi gergasi dunia seperti Google, Microsoft dan sebagainya melabur dalam bidang STEM termasuk kecerdasan buatan (AI) di negara ini.

“Aspek STEM yang menjadi masalah kepada kita sekarang, jadi saya telah minta supaya sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendorong anak-anak kita supaya lebih ramai memilih STEM.

“Saya harap mulai tahun ini, ada usaha untuk menambah jumlah pelajar dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia malam ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mencadangkan supaya syarikat-syarikat korporat tahun ini memilih sekolah-sekolah yang terpinggir termasuk di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak sebagai sekolah angkat.

Beliau akan meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bersama KPM menyelaraskan supaya sekurang-kurangnya 200 buah sekolah angkat daif tersebut dapat dipantau secara langsung oleh syarikat-syarikat korporat, yang pastinya akan membantu perkembangan pelajar-pelajar di sekolah berkenaan.

“Bayangkan anda sebagai Pengurusan Bank (misalnya) masuk ke sesebuah sekolah ini, pastinya itu akan mendapat penghargaan tinggi (daripada pelajar) dan apa yang anda sampaikan kepada anak-anak itu akan memberi kesan yang sangat besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here