KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa untuk tidak membuat keputusan terburu-buru berhubung hasrat ingin meninggalkan parti itu dalam tempoh terdekat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, nasihat berkenaan telah disampaikannya kepada Tengku Zafrul dalam satu pertemuan empat mata yang antara mereka minggu lalu.
“Saya telah memberikan pandangan parti bahawa beliau (Tengku Zafrul) tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan sekarang kerana beliau adalah menteri.
“Beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, beliau juga adalah ahli MKT yang dipilih dan menang.. jadi tidak perlu tergesa-gesa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa MKT UMNO di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu ternyata mendengar nasihat beliau dan berpendirian beliau masih lagi ahli UMNO.
“Dalam keadaan itu, beliau bersetuju dengan saya dan insya-Allah setakat hari ini beliau masih lagi menjadi ahli UMNO,” kata Ahmad Zahid.
Bulan lalu, media melaporkan Tengku Zafrul akan menemui Ahmad Zahid bagi berbincang sebelum mengumumkan keputusan berhubung perkara tersebut.
Baru-baru ini timbul spekulasi Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO selepas dikatakan tiada lagi masa depan politiknya dalam parti tersebut, dan media juga sebelum ini melaporkan yang beliau pernah dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat beberapa bulan lepas. – MalaysiaGazette