KOTA TINGGI – Lebih 20 penduduk daripada lima keluarga yang sering menjadi mangsa banjir di Kampung Baru Sungai Mas di sini akan dipindahkan secepat mungkin ke kawasan yang lebih tinggi di kampung berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, proses itu sedang diusahakan dan sedang menunggu kelulusan pihak kerajaan negeri serta agensi terlibat seperti pejabat tanah dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.
“Kita berdoa supaya usaha ini dipermudahkan dan harap dapat kelulusan peringkat kerajaan negeri. Harap lepas pindah akan selesai isu banjir.
“Di kampung berkenaan ada tujuh keluarga termasuk penempatan tahfiz yang terletak di satu tanah wakaf. Namun perpindahan hanya libat penduduk yang terkesan dengan isu tradisi banjir ini.
“Bagi tahfiz berkenaan pihak kementerian meluluskan RM200,000 pada tahun lepas bagi membina jalan alternatif yang boleh menghubungkan ketika banjir berlaku,” katanya ditemui media selepas hadir Program Bubur Lambuk Perdana DUN Penawar 2025 di Felda Sungai Mas di sini hari ini.
Katanya, beliau selaku wakil rakyat bersama kerajaan negeri sentiasa memikirkan kaedah untuk mengatasi isu banjir yang berlaku melibatkan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Fauziah berkata, program bubur lambuk itu adalah kali kedua dianjurkan yang melibatkan kerjasama kira-kira 300 komuniti dari kampung, Felda, pertubuhan bukan kerajaan, sayap parti, agensi, kolej komuniti dan banyak lagi.
Menurutnya, sebanyak 20 periuk bubur lambuk dihasilkan diserahkan kepada golongan asnaf dan dibawa ke kampung masing-masing untuk diedarkan.
“Apa yang menarik setiap mereka menunjukkan kreativiti masing-masing dimana kita ada 20 periuk, 20 rasa yang berbeza antaranya bubur lambuk gear box, paling istimewa bubur lambuk ayam hutan, bubur lambuk tetel, bubur lambuk ikan dan sebagainya.
“Semoga program seperti ini akan dapat eratkan hubungan baik komuniti dalam DUN Penawar dan mengekalkan permuafakatan yang ada,” katanya.- MalaysiaGazette
Fauziah (empat kanan) ketika hadir Program Bubur Lambuk Perdana DUN Penawar 2025 di Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, hari ini