PUTRAJAYA – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendedahkan pemberi maklumat, Datuk Albert Tei didakwa cuba memonopoli industri cari gali mineral Sabah apabila beliau kini memiliki 13 lesen penerokaan hasil bumi itu.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, lebih menghairankan bagaimana Albert boleh memiliki 13 lesen penerokaan cari gali mineral atas nama seorang individu sedangkan hanya satu atau dua lesen sahaja boleh diluluskan.
“Maklumat yang kita terima, Albert telah melakukan salah guna kuasa dan istilah jahat orang-orang di luar sana sebut sebagai penyangak.
“Albert cuba memohon sebanyak 25 lesen cari gali mineral, dia nak monopoli semua lesen mineral di Sabah, di mana 13 lesen daripadanya telah diluluskan.
“13 lesen itu juga hasil daripada pemalsuan dokumen yang ada dengan kami dan kami tak nak komen sebab saya tengok Albert pun ada masuk dalam dipanggil SPRM hari ini,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Pada 15 November 2024, G57 membuat laporan dan menyerahkan dokumen kepada SPRM mengenai salah laku mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, Jontih Enggihon dan seorang Datuk mengenai skandal rasuah lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Dalam pada itu, Zulkarnain juga mempersoalkan tindakan sebuah portal dan bekas Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang mempertahankan Albert sebagai hero tanpa menyemak aset kekayaan dan dakwaan salah guna kuasanya.
“Kalau kita tengok berita ini agak berat sebelah, seolah-olah Albert ini diangkat sebagai wira dan mangsa politik.
“Kami ingin bertanya dengan Puan Latheefa dan sebuah portal, kenapa Albert ini dibela dan diangkat seperti seorang mangsa, sedangkan dia ini telah memohon lesen yang tidak sepatutnya di Sabah,” katanya.
Zulkarnain juga bertanya sejauh mana Latheefa dan sebuah portal itu menyedari yang mana Albert didakwa terlibat di sebalik tawaran rasuah sebanyak RM5 juta kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini.
“Ada cubaan sebenarnya untuk menyogok Ketua Menteri Sabah sebanyak tiga kali sebanyak RM5 juta dan saya fikir Datuk Seri Hajiji telah maklumkan perkara ini kepada SPRM,” dakwanya.
Selain itu, Zulkarnain turut bertanya kepada Penasihat Lawyer for Liberty (LFL) itu sejauh mana beliau menyedari tentang penglibatan bekas pegawai kanan polis Sabah dalam gerakan Albert.
“Kami ingin serahkan dokumen ini supaya SPRM boleh meneliti dokumen ini yang kita hantar kepada portal terbabit termasuk Latheefa dan LFL supaya bertindak adil dengan Kerajaan Negeri Sabah.
“Perkara ini menimbulkan polemik, Albert seolah-olah mangsa, dalam masa sama dia telah mohon 25 lesen mineral daripada yang sepatutnya.
“Mangsa sebenarnya adalah Kerajaan Negeri Sabah itu sendiri, difitnah dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette