KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam, tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pemberian BKK penting bagi meringankan beban perbelanjaan yang lazimnya meningkat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tambahnya, insentif itu juga boleh membantu penjawat awam untuk membuat persiapan pulang ke kampung, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang mana sesi persekolahan 2025/2026 baru sahaja bermula kira-kira tiga minggu lalu.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, bantuan khas ini akan sedikit sebanyak membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan mereka dengan lebih baik. Kami memahami penjawat awam baharu sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan.
“Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Adnan berkata, BKK bukan sahaja dinanti-nantikan penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang turut bergantung kepada lebihan wang daripada bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.
Beliau berkata, apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan, serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat menjelang perayaan.
“Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.
“Oleh itu, kami percaya kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka.
“CUEPACS amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab,” katanya. -MalaysiaGazette