Rodziah Ismail

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan gesaan Pas Selangor supaya mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor segera memindahkan alamat undi ke negeri itu sebagai langkah terdesak yang merosakkan demokrasi.

Ahli Pimpinan Keadilan Pusat, Rodziah Ismail berkata, pihaknya memandang serius gesaan itu yang bukan sahaja tidak beretika, malah mencemarkan prinsip demokrasi yang berasaskan representasi sebenar penduduk tempatan.

Tegas beliau, mengundi bukan sekadar strategi politik, tetapi adalah hak dan tanggungjawab yang perlu dijalankan dengan jujur.

Malah, ujarnya, mendaftarkan pengundi luar untuk kepentingan politik bukan sahaja mempermainkan sistem pilihan raya, tetapi juga mengkhianati amanah rakyat Selangor.

“Rakyat Selangor berhak memilih pemimpin mereka sendiri tanpa dipengaruhi lambakan pengundi luar demi kepentingan politik sempit.

“Langkah sebegini akan merosakkan demokrasi yang sedia ada di Selangor.

“Tambahan pula, tindakan sebegini mencerminkan ketandusan idea dan kegagalan parti PAS untuk menambat hati rakyat Selangor secara telus.

“Jika mereka benar-benar yakin dengan sokongan rakyat, mengapa perlu bergantung kepada taktik kotor seperti ini?” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengulas mengenai gesaan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri semalam supaya mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor segera memindahkan alamat undi ke negeri itu.

Menurut Ab Halim, adalah penting untuk penduduk yang menetap di negeri itu mengundi di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah tegas dalam memastikan pendaftaran pemilih tidak disalahgunakan.

Tambahnya, mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam manipulasi daftar pemilih harus dikenakan tindakan sewajarnya supaya integriti sistem pilihan raya terus terpelihara.

“Rakyat Selangor tidak akan tunduk kepada permainan politik kotor.

“Demokrasi yang tulen adalah suara rakyat yang sebenar, bukan hasil muslihat politik sempit yang rakus kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here