PUTRAJAYA – Masalah infrastruktur sekolah-sekolah terutama tandas menyaksikan kos menyelenggara dan membaikinya mencecah RM1 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, isu tersebut memerlukan perhatian segera demi keselesaan murid dan ia tidak boleh diharapkan dapat diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan sahaja.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, bagi penyelesaian secara komprehensif, kerajaan memperkenalkan program Sekolah Angkat pada tahun ini.
“Antara hal awal yang saya bangkitkan sebaik mengambil alih jabatan ini ialah memantau kedudukan sekolah.
“Banyak masalah sekolah, pembangunannya, kantin, tapi saya mula dengan tandas kerana itu pun sudah cecah RM1 bilion. Saya kira selesai, bukan selesai semuanya. Malah ada sekolah di sekitar Kuala Lumpur, kita harus perbaiki jadi saya rasa caranya bagaimana.
“Hendak harapkan Jabatan Kerajaan atau Kementerian Pendidikan sahaja tak terupaya, seorang pegawai pendidikan daerah yang jelajah, 50 sekolah menengah, 60 sekolah rendah, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil. Jadi kita anjurkan dengan perkenalkan program Sekolah Angkat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar memberitahu, usaha untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah dibuat secara serius di mana pemantau dan laporan perlu dihantar setiap masa.
“Saya ada jawatankuasa, pemantauan dan rakan yang akan memberi laporan dan kita akan bantu sedaya upaya.
“Apakah contoh terbaik itu selesai? Saya rasa belum. Tetapi saya rasa boleh,” kata Perdana Menteri lagi. – MalaysiaGazette