Mohideen (dua dari kiri) menunjukkan produk makanan import yang didakwa tidak mematuhi spesifikasi pelabelan dalam negara pada sidang media di Pejabat CAP, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengambil tindakan segera terhadap penjualan produk makanan import yang tidak mematuhi peraturan negara.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan tinjauan pihaknya mendapati banyak produk dari China, Thailand, Bangladesh, Jepun, Vietnam dan Korea tidak memenuhi syarat pelabelan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Perihal Dagangan 1972 dijual dalam negara.

Jelas beliau, sebahagian besar produk ini tidak menyertakan nama serta alamat pengimport dan pengedar.

“Malah, terdapat produk yang langsung tidak menyenaraikan ramuan yang terkandung di dalamnya.

Antara produk makanan import yang didakwa gagal mematuhi pelabelan negara.

“Lebih membimbangkan, kebanyakan label menggunakan bahasa negara asal dan bukan Bahasa Malaysia atau Inggeris, menjadikannya sukar difahami pengguna tempatan.

“Pengguna mungkin menganggap produk ini selamat dimakan tanpa menyedari risiko kesihatan, termasuk bahaya bahan yang boleh mencetuskan alahan serius hingga membawa maut,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Mohideen, label mempunyai peranan penting dalam memberi maklumat kepada pengguna, terutama mengenai bahan tambahan makanan seperti kod Nombor E yang kurang difahami rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh, kod E102 merujuk kepada tartrazine yang boleh menyebabkan alahan, manakala E249 dan E252 merupakan bahan kimia dalam daging yang diawet dan berpotensi menjadi karsinogen dalam sistem pencernaan.

“Sehubungan itu, CAP menggesa penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan produk berlabel bahasa asing sahaja dikeluarkan dari pasaran tempatan.

“Pihak berkuasa perlu memastikan produk yang tidak mematuhi peraturan ini tidak dijual di pasaran kerana ia seolah-olah mencabar undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here