KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan dua pasukan ternama, Sri Pahang dan Kedah Darul Aman (KDA) bakal tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut meluahkan rasa sedih dengan perkembangan itu kerana menyifatkan dua pasukan itu memiliki sejarah hebat dalam Liga M sebelum ini.
Bagaimanapun Tunku Ismail masih berharap pengurusan Sri Pahang dan KDA dapat mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut kewangan dan kekal bersaing musim depan.
“Berita paling buruk untuk bola sepak tanah air, itu sebab final (Piala Malaysia) kali ini dengan Pahang, saya sedih berkenaan satu benda. Satu saya bersyukur, Insya-Allah kalau menang, itu piala yang ke-30 (JDT).
“Tetapi saya juga terpaksa cakap selamat tinggal kepada sahabat saya, bapa saudara saya Tengku Muda dan kepada pasukan legenda yang banyak sejarah macam Pahang kerana tahun depan Pahang tak ada lagi, bubar terus.
“Pasal ada masalah dalam Pahang, jadi benda ini berita sedih. Macam Kedah adalah pasukan yang bersejarah pun tak ada juga tahun depan. Anda lihat, salah siapa? Ini semua kerana kelemahan pengurusan dana.

“Apabila ada RM10 juta tapi belanja RM15 juta. Saya sedih mereka tak ada lagi dan saya harap mereka akan mencari jalan untuk selesaikan masalah itu.
“Tapi inilah masalah terbesar di Malaysia apabila meletakkan orang yang menjalankan liga dan juga orang yang menguruskan pasukan tidak ada minat dan pengetahuan dalam bola sepak,” katanya.
Tunku Mahkota Ismail berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama penyokong JDT yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Johor Southern Tigers, malam tadi.
Sebelum ini, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menegaskan pihaknya belum berputus asa dan akan berusaha habis-habisan menyelamatkan Sang Kenari untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super.
Ketika ini, difahamkan, pemain Kedah tidak menerima gaji selama 10 bulan hingga menyaksikan beberapa sesi latihan diboikot dan terpaksa menggunakan pemain muda daripada Piala MFL. – MalaysiaGazette
