KUALA LUMPUR – Naturmeric, jenama produk berasaskan kunyit hitam telah menjalani kajian intensif di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memastikan ketulenan, keselamatan dan keberkesanannya bagi membantu menangani masalah kesihatan kronik yang berpunca daripada keradangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Naturmeric, Shah Hafiz Borhannudin berkata, Institut Biosains UPM menjalankan penyelidikan komprehensif sejak 2021 untuk menilai kandungan bahan aktif serta manfaat produk ini terhadap kesihatan pengguna.
Menurut beliau, pihaknya menekankan kepentingan kajian saintifik bagi memastikan produk benar-benar berkesan dan selamat di mana ujian makmal melibatkan pakar dalam bidang bioteknologi dan perubatan untuk memastikan produk bebas daripada sebarang bahan berbahaya.
Selain meningkatkan keyakinan pengguna, kajian ini juga memberi nilai tambah kepada industri tempatan dengan mengutamakan pembangunan produk berasaskan sains. Naturmeric komited untuk menyediakan produk berkualiti tinggi yang terbukti secara saintifik sebelum dipasarkan sejajar dengan standard antarabangsa.
“Proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dijalankan di Institut Biosains di universiti berkenaan bertujuan untuk memastikan produk Naturmeric dikaji secara menyeluruh bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk tersebut.
“Sehingga kini, produk Naturmeric masih melalui kajian intensif bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya dan proses berkenaan telah diketuai oleh Pengarah Penyelidikan Institut Biosains, Prof. ChM. Dr. Intan Safinar Ismail.
“Proses penyelidikan ini akan berterusan sehingga ke peringkat kajian klinikal, yang mana ujian akan dilakukan ke atas manusia untuk mengkaji tindak balas tubuh terhadap manfaat kunyit hitam,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Shah Hafiz menambah, selain daripada memastikan kajian berjalan lancar, cabaran lain yang dihadapi termasuklah mendapatkan bekalan kunyit hitam kerana herba itu berasal dari Madhya Pradesh, India dan ia sukar diperoleh.
“Sebagai langkah strategik, syarikat kini mengusahakan ladang penanaman kunyit hitam seluas 40 hektar di Johor Bahru. Dengan ini, kami dapat memastikan bekalan herba ini sentiasa mencukupi tanpa perlu bergantung kepada bekalan import,” katanya.
Beliau turut mengakui membina kepercayaan dalam industri kesihatan adalah satu cabaran besar memandangkan Naturmeric masih baharu di pasaran tetapi pihaknya yakin produk yang berkualiti pasti akan mendapat tempat di hati pengguna.
Katanya, syarikat merancang untuk melancarkan makanan berfungsi berasaskan kunyit hitam yang digabungkan dengan bahan semula jadi lain seperti habbatus sauda dan madu.
“Produk Naturmeric yang sedang kami bangunkan telah disahkan 100 peratus mengandungi kunyit hitam tulen oleh UPM.
“Kami berharap kajian ini berjalan lancar supaya kami dapat membantu lebih ramai orang meningkatkan kesihatan secara semula jadi,” katanya. – MalaysiaGazette