KUALA LUMPUR – Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) mendakwa hampir separuh daripada 216 tapak di bazar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini telah berpindah hak milik kepada kartel.
Pengerusinya, Datuk Seri Rosli Sulaiman mendakwa, pihaknya berjaya mengesan sekurang-kurangnya empat broker yang menjual harga tapak bazar antara RM7,000 hingga RM12,000.
“Kami dapati ada penjaja yang menjual tapak mereka kepada kartel dan kartel kemudiannya menjual semula tapak itu kepada penjaja lain pada harga dua kali ganda.
“Ini kerana penjaja tersebut mahu keuntungan cepat tanpa berniaga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Rosli turut memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan saman kepada pemilik yang tidak berada di tapak jualan mereka.
Bagaimanapun ada kartel yang berselindung di sebalik pembantu untuk mengelak tindakan penguatkuasaan.
“Ketika pemeriksaan dibuat, hanya pembantu yang berada di tapak jualan. Kami mahu DBKL bertindak lebih tegas dengan menutup operasi penjaja yang mengulangi kesalahan ini sebanyak tiga kali,” katanya.
PPPBWPKL telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendedahkan aktiviti kartel ini.
“Kami telah membuat laporan kepada SPRM Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu yang kini telah dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Selain itu, kami juga membuat laporan kepada PDRM pada 13 Mac lalu untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosli turut menggesa agar jabatan yang menguruskan penjaja dalam DBKL dirombak kerana berpendapat jabatan berkenaan perlu diterajui individu yang memahami keperluan sosioekonomi golongan peniaga kecil.
Selain itu, Rosli juga menafikan dakwaan pihaknya sering dituduh terlibat dengan kartel.
“Jika ada dakwaan sebegitu, ia perlu disertakan bukti bukan sekadar tuduhan semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette