Aldrin Pratama Widjaja. Gambar Bernama.

PUTRAJAYA – Seorang ahli perniagaan warganegara Indonesia mendapat kembali wang jaminan RM1 juta selepas permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali sebulat suara membenarkan permohonan Aldrin Pratama Widjaja supaya pasportnya dikembalikan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin turut membatalkan syarat jaminan tambahan yang memerlukan beliau melapor diri setiap bulan di Balai Polis Cyberjaya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul yang mewakili pendakwaan tidak membantah permohonan yang dikemukakan oleh peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Sebelum ini, Aldrin dibebaskan dengan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin selepas Mahkamah Rayuan pada 2022 membenarkan permohonan ahli perniagaan itu untuk menangguhkan waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Aldrin bukan Datuk Paiman Shakiman iaitu individu yang dijatuhi hukuman penjara 13 tahun bagi kesalahan menipu dan memalsukan dokumen.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian setelah menjalankan prosiding inkuiri bagi menentukan identiti Aldrin seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2023.

Paiman yang juga ahli perniagaan telah dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menipu serta memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua individu bergelar Datuk dalam kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Paiman kemudian mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Tinggi namun telah melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan RM750,000 yang menyebabkan waran tangkap serta waran pemenjaraan dikeluarkan terhadapnya.

Pada 2021, polis telah menahan Aldrin dan mendakwa beliau adalah Paiman. Semakan cap jari menggunakan sistem biometrik Jabatan Pendaftaran Negara juga menunjukkan bahawa beliau adalah Paiman.

Pada 2 Disember 2021, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Aldrin menjalani hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen dan ini menyebabkan ahli perniagaan itu mengemukakan rayuan bagi mencabar keputusan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast