SUNGAI PETANI – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Sungai Petani – Jalan Kuala Ketil, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Faiz Rozaini, 31, dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa dengan sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 30 tahun.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Bukit Selambau menghala ke Sungai Petani manakala lori berkenana dari Sungai Petani menuju Kuala Ketil.

“Siasatan lanjut mendapati semasa lori berkenaan bergerak di laluannya tiba-tiba mangsa dari simpang kiri telah keluar untuk membelok ke kanan.
“Pemandu lori tersebut cuba mengelak namun jarak terlalu dekat mengakibatkan melanggar bahagian kanan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, impak kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa dihantar ke Hopsital Sultan Abdul Halim di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette