Deretan bas persiaran tersusun di parkir semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengeluarkan sejumlah 300 Lesen Perubahan Sementara kepada pengusaha bas ekonomi yang berminat bagi menampung permintaan yang tinggi pada harga yang berpatutan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Perkhidmatan jenis ekonomi menyediakan bas berhawa dingin yang dilengkapi kemudahan asas manakala perkhidmatan jenis eksekutif menawarkan keselesaan kepada penumpang dengan tempat duduk yang lebih luas, lampu baca, minuman dan makanan ringan, kerusi sandar yang dilengkapi dengan tempat meletak makanan, televisyen dan pemain multimedia digital.

APAD berkata, sejak 9 September 2013, tambang siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambahan sebanyak 10% pada musim perayaan manakala tiada tambang siling untuk bas eksekutif.

Manakala tambang lantai bas eksekutif RM0.15 kilometer dan tiada untuk tambang siling.

“APAD telah melaksanakan pemantauan rapi pada musim perayaan ini bagi memastikan pengendali-pengendali bas mematuhi jadual tambang yang telah ditetapkan.

“Melalui pemantauan ini, APAD mendapat maklum balas wujudnya kekeliruan yang mana pengguna yang bertujuan membeli tiket ekonomi telah memilih tiket eksekutif yang harganya lebih tinggi kerana maklumat yang kurang jelas pada waktu pembelian,” katanya.

Susulan ini, APAD telah mengeluarkan arahan supaya pusat penjualan tiket berpusat termasuk dalam talian dan luar talian memaparkan secara jelas sama ada tiket yang dijual adalah ekonomi atau eksekutif agar pengguna boleh memilih perkhidmatan yang setimpal dengan harga tiket yang hendak dibayar.

Tambahya, memandangkan semakan jadual tambang terakhir adalah lebih dari 11 tahun lepas iaitu pada September 2013, APAD akan menyemak dasar dan peraturan sedia ada termasuk pengenalan tambang siling untuk perkhidmatan eksekutif.

Bagaimanapun, semakan dasar dan peraturan ini memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pindaan kepada perundangan.

Sehubungan itu, APAD mengingatkan pihak pengendali untuk mematuhi jadual tambang sedia ada, kegagalan untuk mematuhi jadual tambang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukan tindakan Penggantungan atau Pembatalan lesen pengendali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast