Mohideen.
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan, peniaga dan masyarakat untuk mempercepatkan peralihan kepada gaya hidup mampan bagi menangani cabaran alam sekitar dan sosial.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, peralihan tersebut bagi memastikan tiada pihak ketinggalan, terutama komuniti rentan yang terkesan disebabkan isu ekonomi dan kemusnahan alam sekitar.

Jelas beliau, antara bidang yang perlu diberi tumpuan ialah sistem makanan mampan yang mengurangkan pembaziran serta mengutamakan hasil tempatan dan organik.

“Statistik menunjukkan Malaysia membuang 7,000 tan sisa makanan setiap hari, termasuk 4,080 tan yang masih boleh dimakan.

“Dalam aspek tenaga, lebih 90 peratus sumber tenaga negara masih bergantung kepada bahan api fosil, menyebabkan kos tinggi kepada pengguna dan kesan buruk terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Hak Pengguna Sedunia yang akan disambut esok.

Mengulas lanjut beliau berkata, negara menghasilkan berbilion produk plastik setiap tahun yang akhirnya mencemarkan lautan dan tapak pelupusan.

Justeru jelas beliau, pengguna digesa menyokong inisiatif sifar sisa dan kerajaan disaran memperketatkan peraturan berkaitan sisa plastik.

“Bagi isu sumber air, laporan menunjukkan 28 peratus daripada 672 sungai yang dipantau di Malaysia mengalami pencemaran. Jadi kita menekankan keperluan melindungi sumber air dan memastikan akses kepada air bersih serta sistem pengurusan air yang cekap.

“Malah, sektor pengangkutan juga perlu ditransformasikan untuk mengurangkan pelepasan karbon ini kerana sektor tersebut menyumbang 22 peratus daripada jumlah pelepasan CO₂ berkaitan tenaga sekali gus memerlukan kerajaan memperluaskan pengangkutan awam serta menyediakan kemudahan pejalan kaki dan berbasikal,” katanya.

Tambah Mohideen, gaya hidup mampan bukanlah satu keistimewaan tetapi hak yang perlu dilindungi.

“Oleh itu, CAP menggesa kerajaan memastikan akses yang lebih mudah dan berpatutan kepada tenaga boleh diperbaharui selain memperkenalkan peraturan lebih ketat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here